Selangorkini
SELANGOR

Pengendali laman sosial fitnah isu Giat Mara akan disaman

Oleh: Lizawati Madfa

SELAYANG 16 JAN : Blogger dan pengendali laman sosial ‘Facebook’ pro Umno diminta untuk menarik balik kenyataan fitnah berhubung isu penutupan Pusat Latihan Kemahiran Giat MARA Selayang atau terpaksa berdepan tindakan saman.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong, berkata kenyataan yang dikeluarkan kedua-dua pihak yang mengaitkan dirinya dengan penutupan pusat latihan berkenaan adalah tidak benar sama sekali serta bersifat jahat.

IMG_1066aJelasnya, sebagai ahli parlimen, beliau tidak mencampuri sebarang urusan berkaitan Pusat Latihan Kemahiran Giat MARA yang didirikan di atas tanah milik Kerajaan Negeri.

“Saya tidak mengetahui mengenai isu ini sehingga ianya dikeluarkan di media massa, lalu saya menghubungi Exco Negeri untuk penjelasan.

“Apa yang berlaku ialah keadaan pusat latihan ini didapati tidak memuaskan oleh penilaian ‘Task Force’ yang ditubuhkan Kerajaan Negeri, kerana itu notis dikeluarkan,” kata William dalam satu sidang media di pejabatnya di sini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kedua-duanya iaitu blogger ‘Pahangku Media’ dan pengendali laman ‘Facebook’ Boikot Barangan Cina DAP untuk menarik balik kenyataan fitnah itu.

IMG_1050a“Kami kini dalam proses mencari mereka yang terlibat dengan kedua-dua laman sosial ini, kemudian kami akan hantar surat peguam secara rasmi untuk mereka menarik balik kenyataan.

“Sekiranya selepas tempoh tujuh hari dari tarikh surat dikeluarkan mereka gagal untuk berbuat demikian, maka mereka perlu berdepan tindakan saman daripada saya,” kata William.

Antara lain, melalui blog Pahangku Media yang boleh dilayari di www.pahangku.com, William dikatakan bersetuju bersama anggota Exco DAP untuk meroboh pusat latihan berkenaan bagi membina kondominium bersaiz kecil di atas tapak itu.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa pihak Kerajaan Negeri bersedia menimbang kembali keputusan sebelum ini sekiranya pihak pentadbiran menambah baik bangunan sedia ada serta mempertingkatkan kursus dan program latihan.

EZY


Pengarang :