SELANGOR

Pertandingan wau tarik minat golongan muda dekati warisan

Oleh : LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 23 JAN: Penganjuran pertandingan wau diharap mampu menarik minat golongan muda untuk mendekati dan mempelajari seni warisan budaya berkenaan yang begitu popular di negeri sebelah pantai timur tanah air.

Penyelaras DUN Permatang, Yahya Sahri, berkata golongan muda berpeluang mempelajari teknik penyediaan dan pengendalian wau yang mungkin asing bagi masyarakat setempat dengan adanya pertandingan berkenaan.

yahya-shari-01Beliau berkata, pihaknya sentiasa menyokong penuh penganjuran pertandingan wau oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Bestari Jaya yang diadakan, sejak 2010.

Pada tahun ini, penganjuran pertandingan turut mendapat tajaan daripada sebuah syarikat swasta iaitu Syarikat Hartalega Berhad.

“Usaha ini, secara tidak langsung dapat mempertahankan seni budaya kraf warisan yang semakin luput ditelan zaman, terutama bagi anak muda.

wau“Pertandingan ini juga ternyata berjaya memupuk semangat kerjasama di kalangan masyarakat setempat yang berbilang kaum,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Pada 12 Januari lalu, beliau berkesempatan menyaksikan Pertandingan Wau yang berlangsung di Padang Awam Taman Ilmu, di sini, yang disertai seramai 30 orang peserta.

Pengurus Sumber Manusia Hartalega Berhad, Mohamad Ridwan, diberikan penghormatan bagi menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang utama pertandingan iaitu Rosli Mohamad, Nor Azali Aziz dan Alias Yusoff.

-NFN-


Pengarang :