Perutusan MB Selangor sempena Hari Thaipusam | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


Perutusan MB Selangor sempena Hari Thaipusam

Thaipusam yang mendapat nama daripada kombinasi nama bulan (Thai) dan nama bintang (Pusam) merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan.

Perayaan yang sinonim dengan falsafah menunaikan nazar dan menebus dosa ini disambut dengan meriah di Kuil Thandayuthabani, Palani, India.

MB Khalid Ibrahim Rakyat 01Tidak sekadar itu, perayaan yang bermakna bagi penganut Hindu ini juga disambut secara besar-besar di negara kita iaitu di Kuil Sri Murugan Batu Caves, Selayang, Selangor.


Biasanya agenda kemuncak bagi perayaan ini ialah, masyarakat Hindu akan ke kuil dengan keluarga masing-masing dan membuat puja bagi Tuhan Muruga supaya suami isteri hidup bahagia dan bersama sepanjang hayat.

Ramai di kalangan mereka yang menyambut perayaan ini percaya bahawa kebahagiaan suami isteri menjadi faktor penting dalam membentuk sebuah keluarga yang bermoral.

Bahkan dalam konteks ini, saya berpandangan kebahagiaan rumahtangga tidak hanya penting untuk membentuk sebuah keluarga yang bermoral, bahkan juga untuk membentuk negeri dan negara yang harmoni dan disegani.

Tanpa sistem kekeluargaan yang utuh, sesebuah negara itu pasti tidak akan mampu untuk bergerak maju dengan seimbang, baik dari sudut material, intelektual mahupun spiritual.

Atas faktor itu jugalah, kerajaan negeri Selangor memandang berat tentang soal pembinaan keluarga. Pelbagai dasar telah kita perkenalkan untuk membentuk sebuah negeri yang dibina dengan tapak kekeluargaan yang kukuh dan jitu.

Kerana kita faham, negeri yang terbentuk dengan model seperti ini mampu untuk memupuk perpaduan sesama masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Akhir kata, marilah bersama-sama kita berusaha membina sebuah masyarakat yang lebih baik daripada hari ini. Masyarakat yang lebih suka memahami daripada berkelahi.

Masyarakat yang lebih gemar bersangka baik daripada menanam prasangka. Ya, perubahan itu tidak datang secara percuma dan mudah. Pastinya sukar dan beranjau. Namun tetaplah berusaha sahabatku. Berusaha dan terus berusaha!

“Selamat Menyambut Hari Thaipusam”

YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION