KENYATAAN MEDIA

Perutusan MB Selangor sempena Tahun Baru Cina 2014

Selamat sejahtera dan Salam kemakmuran kepada rakyat Selangor berketurunan Cina yang menyambut Tahun Baharu Cina 2014.
Tahun Baharu Cina adalah perayaan sebagai menandakan permulaan tahun, dan pada tahun 2014 ini Tahun Baharu Cina mula disambut pada Jumaat, 31 Januari.
 Setiap Tahun Baharu Cina berlambangkan haiwan dalam Zodiak Cina, dan pada tahun 2014 ia adalah Tahun Kuda.  Menurut perhitungan kalendar Thong Su, kuda melambangkan ketangkasan, kegigihan dan kesetiaan.
Pada tahun kuda keadaan rezeki diramalkan lebih baik kerana  kedatangan bintang rezeki yang makmur, bintang penolong, bintang terang, bintang kerjasama yang terang dan rezeki pelaburan terbuka lebar.
1Tahun Baharu Cina juga dikenal sebagai Pesta Musim Bunga dan semasa era pramoden ia melambangkan betapa perlunya kalangan petani di Tanah Besar China membuat persiapan untuk turun menanam padi di sawah mereka.
Jika kaum Melayu berkumpul di surau dan masjid sambil bertakbir beramai-ramai menandakan esok bermulanya sambutan Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha, bagi  Tahun Baharu Cina pula ia dimulai dengan  makan malam sekeluarga  pada malam Tahun Baharu.
Saya percaya pada ketika inilah puncak kesyukuran masyarakat Cina apabila seluruh ahli keluarga datang untuk makan bersama di rumah ibu bapa atau di rumah abang sulung, namun sekarang jamuan sekeluarga lazim pula diadakan di restoran.
Di Malaysia, hidangan bernama yee sang atau “lambungan kemakmuran”,  iaitu campuran ikan dan salad biasanya  disajikan terlebih dahulu dan setiap orang mengelilingi meja untuk menyepit salad dengan chopstick masing-masing sambil bergelak ketawa. Mereka percaya, siapa lebih tinggi melambung salad, lebih baiklah tuahnya pada Tahun Baharu!
Sebenarnya, sambutan perayaan kaum-kaum terbesar di Malaysia menghasilkan elemen silang budaya, yang boleh diamalkan dalam masyarakat Melayu selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Contohnya, memberi buah tangan berupa buah oren dan angpau berupa sampul merah berisi duit semasa Tahun Baharu Cina, kini sudah lumrah dalam masyarakat Melayu semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha. Cuma, buah tangan berupa kuih muih bukan buah oren!
Perayaan Tahun Baharu Cina berlangsung sehingga 15 hari, berakhir dengan sambutan Chap Goh Mei pada malam ke-15. Cap Goh Mei diraikan dengan makan bersama keluarga di dalam ruang yang dilatari muzik dan perhiasan persis makan malam sekeluarga dahulu.
Di kebanyakan negeri di Malaysia, diperuntukkan dua hari cuti umum sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
2
Sebenarnya, banyak manfaat daripada perayaan-perayaan kaum ini bagi kalangan penduduk yang prihatin dan menginsafi akan keperluan saling memahami dan bertolak ansur terhadap budaya atau adat resam kaum-kaum lain yang menjadi warganegara di negara ini.
Sehubungan ini, perpaduan antara kaum tidak sepatutnya dipersoalkan lagi apabila kaum Melayu sendiri secara jujur sedia menjadi teladan kepada kaum-kaum lain dalam hal saling memahami dan menghormati akan agama dan budaya serta adat resam kaum lain.
Sikap supaya mengenal dan memahami sesama manusia ini sepatutnya menjadi pegangan umat Islam dan kaum-kaum lain di Malaysia kerana ia merupakan antara suruhan Allah, Tuhan sekalian alam, dalam al-Quran, surah al-Hujarat, ayat  13.
Wajar diketahui bahawa Pakatan Rakyat di Selangor menzahirkan perpaduan melalui perkongsian kuasa antara parti-parti komponen – PKR, PAS, DAP – dalam usaha mentadbir urus negeri ini sejak Mac 2008 demi keharmonian dan kesejahteraan seluruh rakyat serta kemakmuran negeri.
Usaha ini tidak sekali-kali menggugat kedaulatan Sultan Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera lain.
Kaum Cina merupakan 27 peratus daripada 5.6 juta orang penduduk Selangor. Atas prinsip membela kebajikan seluruh kaum, kita akan terus konsisten dan istiqamah dengan program-program merakyatkan ekonomi bagi faedah seluruh rakyat dari usia bayi ke usia emas hingga ke liang lahat.
Sekian sahaja. Xie Xie. Gong Xi Fa Cai!

Pengarang :