Selangorkini
SELANGOR

Piala FA 2014: Red Giants waspada bertembung Harimau Muda C

SHAH ALAM, 22 JAN: Pasukan Bola sepak Selangor ‘Red Giants’ tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan, Harimau Muda C dalam perlawanan pertama Piala FA, hari ini.

Kapten Pasukannya, Bunyamin Omar, mengingatkan rakan sepasukannya bahawa pertemuan dengan pasukan Harimau Muda C di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada jam 4.15 petang ini adalah perlawanan penting.

Katanya, status junior bukan alasan untuk mereka memandang ringan terhadap kemampuan skuad bimbingan, Aminuddin Hussin dalam saingan kali ini.

Red GiantsKatanya, kejayaan menjuarai Piala Mintal di Slovakia, Ogos lalu turut membuktikan pasukan Harimau Muda C mampu mempamerkan aksi menakjubkan.

“Jadi, saya rasa pada pertemuan menentang Harimau Muda C, mereka pastinya memiliki semangat itu. Oleh itu, semua pemain harus berhati-hati dan dan jangan melakukan banyak kesilapan mudah,” katanya dipetik Sinar Harian.

Pada masa sama, pemain berusia 26 tahun itu juga memberitahu bahawa beliau tidak rela dimalukan pasukan junior, sekali gus menyekat hasrat mereka untuk memburu Piala FA musim ini.

“Tapi saya yakin, melihat aksi yang dipamerkan pemain ketika aksi Liga Super tempoh hari kita mampu pergi jauh,” katanya.

Red Giants 1Sebelum ini, Selangor memulakan kempen Liga Super 2014 apabila berjaya menewaskan Pasukan T-Team 2 – 0 pada perlawanan, pada Sabtu lalu.

Selangor bakal bertemu Singapura pada perlawanan kedua dalam saingan Liga Super, pada 25 Januari ini.

Kemaskini : Selangor layak ke pusingan kedua Piala FA selepas mengalahkan Harimau Muda C 2-0 pada pusingan pertama di Stadium MBPJ.


Pengarang :