Selangorkini
SELANGOR

Pindaan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor, DAP terima teguran pimpinan PR

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 7 JAN: Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berpendapat isu pindaan enakmen yang dicadangkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Selangor tidak perlu dipanjangkan kerana hanya bersifat cadangan.

Katanya, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) atau pimpinan tertinggi DAP.

Anthony LokeNamun begitu, teguran yang dibuat rakan pimpinan dalam PR termasuk Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diterima dengan berlapang dada.

“Kita tidak bincangkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan.

“Saya tidak pasti (membawa ke mesyuarat) kerana itu cadangan beliau (ADUN Damansara Utama) tetapi sebarang keputusan mesti dibincang dan dirujuk konsesus semua komponen parti dalam PR.

“Saya rasa tidak perlu perkara ini dipanjangkan kerana ia hanya cadangan beberapa ADUN. Saya harap rakan dalam PAS dan PKR tidak terlalu terguris hati kerana ini hanya cadangan,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Katanya, pindaan itu tidak boleh dilakukan walaupun semua ADUN DAP Selangor bersetuju okerana parti itu hanya mempunyai 15 kerusi DUN.

Sebelum ini, tiga ADUN DAP iaitu daripada Damansara Utama, Yeo Bee Yin; ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San dan ADUN Bukit Gasing, R Rajiv mencadangkan pindaan peruntukan dalam Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 negeri Selangor.

Cadangan itu dilakukan kerana mereka mendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak sewenang-wenangnya dengan bidang kuasa undang-undang itu dalam serbuan ke atas pejabat Bible Society Malaysia di Petaling Jaya, pada 2 Januari lalu.

-NFN-


Pengarang :