SELANGOR

PKR : MPP tidak pernah gesa Abdul Khalid undur, laporan Sin Chew salah

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 JAN: Laporan akhbar, Sin Chew Jit Poh semalam yang melaporkan kononnya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berundur daripada kerusi Menteri Besar (MB) Selangor tidak benar.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, berkata parti itu memandang serius kejadian salah lapor akhbar terbabit.

Saifuddin-Nasution_small“Saya rujuk akhbar Sin Chew Jit Poh edisi petang semalam (22 Januari 2014) yang bertajuk ‘MPP PKR mahu Khalid undur, Selangor akan tukar MB’.

“PKR memandang serius isi kandungan dan anggapan dalam laporan terbabit. Bagaimanapun, saya jelaskan di sini bahawa mesyuarat MPP yang dimaksudkan dalam laporan itu tidak membuat keputusan yang bersetuju untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat yang berlangsung pada 15 Januari lalu hanya membincangkan beberapa isu termasuk fi lesen perniagaan di Selangor, penyusunan semula aset air Selangor di bawah seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA), status pembinaan Langat 2, penternakan burung walit dan kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco Selangor.

pic-tan-sri-khalid-tokoh-reformasi“Disebabkan MPP tidak membuat keputusan berkenaan isu MB Selangor, maka tidak timbul isu ADUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai pengganti kepada Menteri Besar,” katanya.

Katanya, isu berkenaan Selangor sering dibincangkan dalam mesyuarat MPP PKR memandangkan negeri berkenaan satu-satunya yang diterjui PKR.

“Selangor satu-satunya negeri Menteri Besarnya daripada PKR. Jadi, sudah tentu MPP mengambil berat dan menunjukkan minat yang tinggi berhubung sebarang isu yang berlaku di Selangor termasuk mesyuarat tidak terkecuali, pada 15 Januari lalu,” katanya.

-NFN-


Pengarang :