Selangorkini
SELANGOR

PNB perlu batal hasrat jual saham KESAS kepada GAMUDA

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 3 JAN: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) mendesak supaya Permodalan Nasional Berhad (PNB) membatalkan hasrat menjual pegangan saham Kesas Holding kepada GAMUDA bagi menghalang kenaikan tol di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).

Ketuanya, Syarhan Humaizi Halim, berkata selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bertindak untuk tidak menandatangani perjanjian jual beli itu demi memastikan hak dan kebajikan rakyat terpelihara.

imageBeliau berkata, jika kerajaan pusat ikhlas untuk menjaga kebajikan rakyat, maka tindakan PNB itu perlu dihalang kerana ia dilihat ‘green light’ kepada syarikat konsesi menaikkan kadar tol sewenang-wenangnya.

“PNB bertindak menerima tawaran daripada GAMUDA itu sebagai cubaan mengaut keuntungan tanpa memikirkan tanggungjawab sosialnya kepada rakyat.

“Kami berpandangan kerajaan pusat melalui PNB harus bekerjasama dengan kerajaan Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghalang kenaikan harga tol.

“Jika PNB di pihak PKNS, maka pegangan 50 peratus saham mereka mampu menghalang kenaikan harga. Jika PNB jual, ini menjadikan GAMUDA memiliki 70 peratus saham berbanding PKNS 30 peratus,” katanya dalam laman Facebook, di sini, hari ini.

Syarhan berkata, tindakan PNB itu menunjukkan kerajaan pusat tidak prihatin dengan masalah peningkatan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat dan lebih mementingkan keuntungan kroni.

“Keperitan rakyat khususnya pengguna lebuh raya bakal menjadi lebih parah lagi selepas GAMUDA memuktamadkan tawaran pembelian pegangan lain dalam Kesas Holding Bhd,” katanya.

Baru-baru ini, Amcorp Properties Bhd dan PNB bersetuju untuk menjual keseluruhan pegangan 20 peratus masing-masing kepada GAMUDA dan menjadikan komposisi sahamnya 70 peratus dan PKNS 30 peratus.

Hal itu, menunjukkan PKNS akan memiliki saham minoriti, sekali gus mengurangkan kuasa untuk menghalang kenaikan kadar tol oleh KESAS.

Menurut laporan Maybank Investment Bank Research November 2013, KESAS mencatatkan peningkatan kenderaan lima peratus setiap tahun membabitkan 490,000 penguna setiap minggu dengan menyumbangkan keutungan berganda 121 peratus antara tahun 2008 hingga 2012.

Sebelum ini, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan Rakyat Selangor akan menggunakan pegangan saham di lebuh raya KESAS, Sprint dan Damansara-Puchong untuk menolak kenaikan tol seperti yang diumumkan Barisan Nasional.

-NFN-


Pengarang :