NASIONAL

Polis ditugas intip harga barang jatuhkan imej

SHAH ALAM 27 JAN: Tindakan terbaru Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Polis mengintip harga barang jelas tidak ada rasional dan menjatuhkan imej mereka.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, berkata tindakan itu jelas tersasar jauh daripada polis yang termaktub dalam Akta Polis 1967 Seksyen 3 (3).

POLIS bantuanAkta itu menyatakan polis perlu memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekal keamanan, mencegah, mengesan jenayah, menangkap, mendakwa pesalah dan mengumpul risikan keselamatan.

“Tahun lalu, Ahmad Zahid mengarahkan polis menjadi ‘pak guard’ menjaga kertas dan peti undi pemilihan Majlis Tertinggi UMNO. Kini anggota polis dikerah sebagai pengintip serta pemantau harga barang di pasaran.

“Imej, maruah dan profesionalisme polis jelas semakin tergugat angkara tindakan menteri yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam kenyataan media.

Kata Steven, Kerajaan Umno-BN gagal mentadbir ekonomi dengan baik menyebabkan hutang negara melampau tinggi, pendapatan terbantut, kos sara hidup meningkat dan budaya rasuah pula tidak dapat ditangani.

“Kini, mereka seakan-akan menggunakan taktik ekonomi perang rejim Nazi untuk mengawal harga barang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan sedemikian jelas bukannya strategi ekonomi bijak dan adil oleh kerajaan yang kononnya mendahulukan rakyat.

“Langkah kerajaan hanya memberi tekanan perniagaan terutama peniaga kecil manakala syarikat besar yang memonopoli perkhidmatan serta barangan terus bebas mengaut keuntungan,” katanya.

EZY


Pengarang :