NASIONAL

‘Polis mabuk’, KPN perlu fokus perangi jenayah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JAN: Insiden anggota polis melanggar disiplin ketika bertugas menunjukkan kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis dalam menentukan fokus sebenar badan penguatkuasa itu supaya berfungsi lebih efisyen dalam memerangi jenayah.

Naib Presiden PKR, N Surendran, berkata Ketua Polis Negara (KPN) sepatutnya perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas sebenar polis supaya dapat memberikan fungsi terbaik dan bukannya ghairah ‘menyerang’ pimpinan Pakatan Rakyat.

Katanya, campurtangan politik terhadap urusan pentadbiran polis menjejaskan integriti anggota polis bertugas sehingga mengakibatkan mereka hilang semangat.

“KPN sepatutnya memastikan polis berfungsi secara sempurna dan efisyen dalam kegiatan harian mereka,” kata Surendran ketika dihubungi Selangor Kini.

polis mabukSebelum ini, terdapat penyebaran gambar dua anggota polis yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa menjalankan tugas rondaan di laman sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahalan dalam satu kenyataan di laman Facebook Rasmi Polis Kontinjen Selangor berkata, identiti kedua-dua anggota terbabit dikenal pasti dan mereka ditukarkan serta merta tempat penugasan sementara siasatan lanjut insiden itu dijalankan.

“Ini adalah satu kegagalan KDN kerana beberapa insiden terlah berlaku termasuk kehilangan senjata sebelum ini dan sekarang kes mabuk dan segalanya pula. Sentiasa pula ada kes dera dalam tahanan.

“Semua ini menunjukkan bahawa KDN gagal memastikan bahawa polis berfungsi secara berdisiplin dan mengikuti undang-undang dalam melaksanakan tugas,” katanya.

20130623_PKR_Padang_Serai_N_SurendranSurendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai turut membidas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang memaklumkan polis memerlukan prosedur (SOP) baru bagi mengatasi masalah ini

“Tak masuk akal apabila polis memerlukan SOP baru. Ini adalah hal penyelenggaraan dan pengendalian PDRM serta polisi KDN,” kata beliau lagi.

EZY


Pengarang :