Selangorkini
NASIONAL

PR tolak jemputan Hari Australia sebab Lynas jadi penaja

SHAH ALAM, 21 JAN : Pakatan Rakyat (PR) menolak jemputan Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur untuk menghadiri sambutan Hari Australia, 22 Januari ini kerana kehadiran LYNAS Malaysia Sdn Bhd sebagai satu daripada penaja.

Dalam kenyataan media bersama mereka menyatakan walaupun PR berbesar hati dengan undangan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu, ia perlu ditolak.

stop-lynas editMenurut mereka, pelawaan itu sebenarnya adalah satu inisiatif besar mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara, tapi demi prinsip ia tidak wajar disertai.

“Sebilangan besar rakyat Malaysia menganggap LYNAS sebagai kilang pemprosesan nadir bumi yang tidak diundang. Jika PR memenuhi jemputan itu, sudah tentu melanggar prinsip kami dan janji pilihan raya lalu.

“LYNAS bermula di Malaysia tanpa mendapat penilaian keperluan, prosedur, kajian lokasi dan hanya beroperasi dengan lesen sementara kerana ia tidak mematuhi piawaian ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Pendirian itu ditegaskan dalam Kenyataan media bersama oleh Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan, V Sivakumar; Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Syed Azman Syed Nawawi dan Naib Presiden PKR, Tian Chua

projek-Lynas(radioaktif)Tambah mereka, LYNAS juga tidak mengambil kira sentimen rakyat yang menurunkan sejumlah 1.2 juta tandatangan bantahan terhadap loji pemprosesannya di Pahang.

“Bagaimanapun PR mengucapkan setinggi penghargaan dan selamat maju jaya kepada Suruhanjaya Tinggi Australia dalam sambutan Hari Australia dan Tahun Baru 2014.

“Kami berharap Suruhanjaya Tinggi Australia memahami pendirian PR terhadap pencemaran alam sekitar serta tidak menjadikannya sebagai isu dalam melemahkan persahabatan dan muhibah bersama warga Australia,” kata mereka.

EZY

 


Pengarang :