SELANGOR

PRK Kajang: Wawancara Q & A bersama MB Selangor

Isu pilihan raya kecil Kajang mencetus kan polemik pelbagai pihak, dari rakyat biasa hinggalah  penggamat politik. Sekaligus banyak mata tertumpu kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor. Ikuti wawancara bersama beliau.

Bagaimana kemenangan Anwar Ibrahim akan mengubah politik di Selangor?

Anwar sudah begitu lama dalam arena politik. Sekarang adalah masanya untuk menilai keupayaan beliau, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), dan pilihan raya negeri Sarawak nanti.

Sekiranya kita boleh menunjukkan sokongan yang berterusan dan meningkat, maka PRU-14 nanti, kita mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

Dalam pilihan raya lepas, kita (PR) meraih lebih banyak undi perseorangan lebih daripada gabungan parti-parti BN. Malangnya dek kerana peruntukan kerusi, BN menang lebih banyak kerusi daripada Pakatan.

Melalui langkah-langkah yang kita ambil ini, bukan sahaja kita boleh menang lebih banyak undi rakyat, tetapi juga menambah jumlah kerusi untuk membolehkan kita memenangi kerusi parlimen secukupnya bagi membentuk kerajaan Malaysia.

Bagaimana Anwar akan menyumbang kepada perkembangan Selangor?

Anwar menjadi Menteri Kewangan lebih daripada 8 hingga 9 tahun. Justeru, beliau mempunyai kefahaman yang luas mengenai langkah-langkah belanjawan dan keadaan kewangan di Malaysia.

Dengan menguji pengalaman beliau berserta komitmen kewangan yang ingin dilaksanakan, kita akan dapat tahu sama ada kita berada di landasan yang betul atau tidak. Pengetahuan itu, berserta dengan pilihan-pilihan hala tuju dan kesan daripada perlaksanaannya adalah sesuatu yang amat berharga.

Bagaimana itu boleh berlaku?

Pertama sekali Anwar perlu berjuang untuk rakyat Selangor. Dia perlu tunjukkan dia layak untuk disokong, kerana rakyat akan sentiasa perhati dan persoalkan. Kesungguhan yang Anwar berikan, ialah kelebihan untuk rakyat Selangor.

Bagaimana dengan spekulasi Anwar mahu jawatan Menteri Besar?

A: Spekulasi itu perlu diuji terlebih dahulu. Sebenarnya Anwar melihat melangkaui jawatan MB. Di penghujung cerita, matlamat ialah peringkat Persekutuan, dengan menjadikan Selangor sebagai batu loncatan. Kombinasi pengalaman korporat dan pengalaman mentadbir kerajaan akan memberikan ‘head-start’ kepada kita untuk mencabar Putrajaya.

Adakah parti tidak lagi menyakini saudara?

Sekiranya saya hilang keyakinan parti, tidak mungkin saya jadi Menteri Besar sekarang ini. Bagaimanapun saya akui bahawa politik lebih meruap berbanding kehidupan korporat.

Saya mempunyai agenda reformasi, dan sekiranya saya tidak dibenarkan untuk merealisasikan agenda reformasi itu, maka pada masa itu lebih baik saya berhenti sahaja. Buat masa ini, agenda reformasi ini sedang diteruskan dan terlaksana meskipun di bawah situasi politik yang meruap-ruap.

Bagaimana saudara melihat kerajaan Selangor menghadapi cabaran masa hadapan?

Kita membina rizab negeri sepanjang empat tahun yang lepas. Sekarang kita bukan sahaja boleh bercakap mengenai idea, tetapi juga mempunyai wang untuk menterjemah idea itu kepada bentuk fizikal.

Selepas itu pada masa akan datang kita boleh katakan bahawa kamu dalam lima tahun danlapan tahun kebelakangan ini bukan sahaja kamu telah menjadikan Selangor sangat kukuh, tetapi juga menjadikan Selangor tempat yang ‘happening’.

Rizab ini adalah perlu kerana Kerajaan Persekutuan tidak akan meminjamkan dana yang kita perlukan. Takkan kita mahu berharap dan bercakap sahaja? Bagi saya, politik harus lebih daripada sekadar retorik, kerana retorik tidak boleh mengenyangkan perut. Pertama, dapatkan dahulu duit yang perlu, kemudian barulah fikir nak makan apa.

Saudara mempunyai rancangan untuk turun dari jawatan MB?

Kita tidak membincangkan perkara itu, dan kita tidak mahu perubahan Menteri Besar buat masa ini. Kita mahu hadapi pilihan raya dahulu.

Saya tidak merancang untuk meletak jawatan, tetapi apa sahaja yang hadir selepas pilihan raya ini nanti, kita akan bincangkan di peringkat Pakatan.

Adakah saudara mempunyai sokongan daripada PAS dan DAP? Bagaimana pula dengan sokongan daripada PKR?

Ya, saya mempunyai sokongan buat masa ini. Parti (PKR) pula terpaksa pasrah lah (ketawa).

Adakah saudara disingkirkan kerana tidak mahu mengurniakan kontrak kepada ahli-ahli parti?

Bagi saya, parti dan rakyat perlu percaya kepada prinsip urus tadbir yang baik. Kita terus mendapat sokongan pada pilihan raya Mei lepas, bahkan sokongan rakyat bertambah kerana kita mengamalkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan mampu melaksanakan tugas.

Kita tidak boleh dan tidak mahu mengubah perkara itu. Dalam politik, kita harus sentiasa buka mata orang.

Bagaimana dengan spekulasi ada pihak tertentu tidak gembira kerana tidak dapat kontrak?

 (Mencelah)… spekulasi, kata saya dah letak jawatan dua kali (ketawa)! Kita kini di peringkat reformasi… tak semua orang akan gembira dengan proses itu.

Adakah saudara akan menjadi MB untuk penggal ketiga?

Tidak. Saya sudah mempersiapkan kerajaan ini untuk pengganti saya. Saya tidak bimbang. Saya merasa dirahmati dan gembira kerana diberi peluang untuk mengibarkan bendera rakyat. Walau apa yang berlaku pada saya, bendera itu harus terus berkibar.

 

* Artikel ini disunting dari wawancara yang dikendali  wartawan BFM dan The Edge, baru-baru ini


Pengarang :