SELANGOR

Program Community Chef DUN Permatang galak masyarakat sedia menu berkhasiat

Oleh : LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 22 JAN: Dalam usaha mendedahkan masyarakat kepada cara penyediaan menu makanan yang sihat serta berkhasiat, pejabat Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menganjurkan program Community Chef.

Penyelaras DUN Permatang, Yahya Sahri, berkata program terbabit terbuka kepada semua anggota masyarakat setempat sama ada golongan wanita, remaja atau lelaki yang bergelar bapa.

Katanya, peserta program juga berpeluang untuk mempelajari teknik penyediaan makanan yang betul daripada tenaga pengajar di kalangan chef profesional dan berpengalaman luas.

1yahya-1024x460“Peserta program juga boleh mempelajari cara bagaimana untuk memasak pelbagai jenis makanan berasaskan kaum seperti masakan Melayu, Jawa, Siam, Cina, Arab dan Jepun.

“Selain berpeluang mempelajari cara penyediaan menu makanan berkhasiat, peserta juga akan didedahkan kepada penyelenggaraan dan penyediaan tempat memasak yang bersih, kemas dan teratur,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Yahya berkata, tidak ada bayaran yuran dikenakan kepada sesiapa yang berminat kerana segala kos ditanggung sepenuhnya oleh pusat khidmat DUN Permatang selain sumbangan daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

permatang“Program ini dianjurkan pada hujung minggu sahaja iaitu pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum. Masyarakat setempat diminta untuk tidak melepaskan peluang kerana kita hanya menerima maksima 30 orang sahaja bagi setiap sesi,” katanya.

Sebanyak 20 sesi program Community Chef dijadualkan sepanjang tahun 2014 dan dua siri pertama berjaya dilaksanakan sehingga kini.

Pusat Komuniti Wanita Tanjung Karang, Taman Nilam dipilih sebagai tempat rasmi sesi program selain beberapa tempat lain seperti di balai raya dan dewan masyarakat kampung.

-NFN-


Pengarang :