Program Zon Bersih PBT misi capai status negeri paling bersih | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


Program Zon Bersih PBT misi capai status negeri paling bersih

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 JAN : Program Zon Bersih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilancarkan Kerajaan Selangor adalah inisiatif awal negeri itu dalam usaha menaik taraf status menjadi negeri paling bersih demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata bagi merealisasikan hasrat itu, sejumlah RM1.2 juta telah disalurkan melalui Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Selangor kepada semua PBT untuk tahun 2013.


MB Zon Bersih signKatanya program itu juga adalah bagi menjunjung kasih DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menjadikan Selangor sebagai negeri paling bersih di negara ini.

“DYMM Sultan ketika menyampaikan titah ucapan di perasmian Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Mac 2012, Baginda Sultan antara lain ada menyentuh tentang usaha kerajaan negeri menganjurkan kempen hijau dan zon bersih di seluruh pelusuk negeri ini.

“Baginda Sultan begitu teruja kerana Kerajaan Negeri mendapat kerjasama daripada syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat bagi mengekalkan kawasan hijau dan bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri Malam Penghargaan dan Penganugerahan Program Zon Bersih PBT Negeri Selangor sesi 2013 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini semalam.

Program Zon Bersih mula dilaksanakan di PBT pada 26 Mei 2009 bertujuan menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang bersih, hijau dan selamat.

Sehingga kini, sejumlah 48 zon telah dipertandingkan sepanjang empat tahun program ini dilaksanakan.

Selain kebersihan, kriteria pemilihan turut mengambil kira aspek infrastruktur, landskap, kemudahan awam serta penglibatan komuniti setempat.

Pada majlis itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya menggondol Anugerah Utama Zon Bersih 2013 dan membawa pulang trofi serta piala pusingan.

Selain anugerah utama, MBSA turut menerima beberapa anugerah lain antaranya jawatankuasa penduduk paling aktif dan johan berkumpulan.

Hadir sama, Exco Negeri Datuk Teng Chang Khim, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menyeru rakyat Selangor supaya menjaga persekitaran dan menyumbang tenaga bagi mewujudkan kejiranan atau kediaman yang bersih dan selesa.

Katanya pelaksanaan program Zon Bersih bergantung sepenuhnya kepada kesedaran sivik daripada masyarakat untuk memastikannya memenuhi matlamat yang dirancang.

“Sekiranya masyarakat tidak mempedulikan soal kebersihan, mereka akan terdedah dengan pelbagai wabak penyakit.

“Usaha ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak kerana tanpa semangat kerjasama yang tinggi, pemikiran yang positif dan jati diri yang kukuh, program ini mungkin gagal dilaksanakan,” katanya lagi.

EZY

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION