NASIONAL

Provokasi kaum : Polis harus bertindak profesional buktikan kewibawaan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 JAN: Pihak polis harus membuktikan kewibawaan mereka dalam menangani tindakan provokasi dan hasutan yang dilakukan pemimpin Umno Pulau Pinang kerana mampu mencetuskan ketegangan hubungan antara kaum serta agama di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Sue Lim, berkata tindakan sambil lewa pihak polis akan menyebabkan masyarakat negara ini menerima isyarat yang salah, sekali gus boleh menimbulkan suasana yang tidak aman dan tenteram antara kaum serta agama.

Ng_Sue_Lim_01“Polis harus mengambil sikap tegas kerana jika dibiarkan ia seperti menggambarkan mereka memberi lampu hijau kepada pihak yang sengaja membakar api perkauman dan akhirnya nanti menimbulkan masalah lebih rumit lagi.

“Polis kena tunjukkan mereka bersikap profesional, jangan nanti rakyat sangka mereka mengamalkan sikap dwi standard,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Pada 18 Januari lalu, beberapa pemimpin Umno Pulau Pinang dalam demontrasi yang diadakan di Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya melakukan provokasi melalui beberapa sepanduk yang dibawa dan juga ucapan mereka.

Antara pemimpin Umno Pulau Pinang terbabit adalah Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican; Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Rahim dan mantan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Sheikh Hussein Mydin.

Provokasi yang dilakukan termasuk membawa sepanduk yang berbaur fitnah dan hasutan seperti ‘DAP musuh Islam’ dan ‘Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi… Mahu lagi kaa?’ serta ucapan yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.

Tindakan itu dilihat sengaja dilakukan demi meraih keuntungan politik dengan menimbulkan api kebencian dan kemarahan, sekali gus boleh mencetuskan keadaan ketegangan antara kaum khususnya membabitkan Melayu dan Cina.

-NFN-


Pengarang :