NASIONAL

Rafizi: GST, hasil minyak tinggi bukan jaminan masalah hutang negara selesai

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 25 JAN: Langkah Kerajaan Pusat mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak menjamin masalah hutang negara yang meningkat boleh diselesaikan sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah mengawal ketirisan dan rasuah yang semakin kronik.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, keadaan ini dapat dilihat terhadap negara lain yang mengenakan GST atau cukai lain seumpamanya tetapi tetap gagal menyelesaikan masalah kewangan mereka sehinggakan terdapat beberapa negara akhirnya jatuh muflis seperti yang dialami Greece.

GST Grafik BaruKatanya, Greece sebelum muflis merupakan sebuah negara yang mengenakan GST sebanyak 21 peratus sebagai salah satu mekanisma cukai bagi membolehkan kerajaan negara itu memperolehi pendapatan yang tinggi bagi tujuan menyelamatkan ekonomi negara itu dari terus dibebani hutang yang tinggi.

“Negara kita mempunyai sumber kekayaan yang tinggi ini sebenarnya mencukupi tetapi disebabkan kegagalan menguruskan sumber ini dengan berhemah menyebabkan kita terpaksa berhutang dengan banyak dan begitu juga dengan GST banyak mana pun kita pungut tetap tidak menjamin masalah kewangan sesuatu negara dapat diselesaikan,” kata Rafizi.

Rafizi berkata demikian dalam taklimat Faham GST, Tolak GST yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini.

Kata Rafizi sumber utama kekayaan negara seperti minyak dan kayu balak yang dimiliki sepatutnya tidak menjadikan hutang negara semakin melebar kepada RM529.2 bilion atau 53.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 30 September 2013 lalu.

Rafizi menambah lagi, Kerajaan Pusat sepatutnya mengambil langkah membendung amalan boros, ketirisan dan rasuah terlebih dahulu sebelum mengambil langkah mengenakan GST terhadap rakyat.

EZY

 


Pengarang :