Selangorkini
SELANGOR

Red Giants perlu ambil iktibar kejatuhan Manchester United

Oleh: SIRAJ ZAINI

SHAH ALAM 14 JAN : Gergasi Merah Kuning perlu bekerja lebih keras pada musim 2014 ini bagi mengembalikan maruah pasukan bola sepak itu yang suatu ketika dahulu digeruni setiap lawannya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pasukan Selangor (Red Giants) perlu mengambil iktibar dengan mengambil contoh kejatuhan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United yang kini sedang bergelut untuk mendapat semula prestasi terbaiknya.

“Pasukan Manchester United kini sedang menghadapi kemelut prestasi dan saham pasukan itu kini sedang jatuh dan kita perlu mengambil iktibar daripadanya,” katanya yang disambut tepukan gemuruh lebih 3,000 penyokong Merah Kuning yang hadir.

Beliau berkata demikian di Majlis Memperkenalkan Pegawai dan Pemain Selangor serta Pelancaran Jersi Baru Selangor Musim 2014 bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, di sini.

11web

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri bersedia memberikan sokongan kewangan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi memastikan pasukan Merah Kuning itu dapat mencapai Misi 33 Piala Malaysia.

“Kerajaan Negeri berjanji untuk memberi sokongan kewangan kepada FAS supaya mereka dapat menggembeling tenaga untuk kemajuan bola sepak di Selangor,” katanya lagi.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri tiada masalah menggunakan wang rizab negeri untuk memajukan sukan bola sepak Selangor jika ada keperluan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad, para pemain Selangor dan pegawai pengurusan FAS.

12web

Sementara itu, pasukan Selangor bakal dibarisi pemain yang diketuai ketua pasukan, Mohd Bunyamin Umar; pemain-pemain lain seperti Muhammad Syamim Othman, Mohd Shazlan Alias, Mohamad Azmi Muslim, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Abdul Shukur Jusoh, Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Raimi Md Nor, Abdul Hadi Yahya, K.Gurusamy, S.Kunanlan, Mohd Rizal Fahmi, Rajesh Perumal, Afiq Azmi, Thamil Arasu, Mohd Hamsani, S.Veenod, Mohd Fitri Shazwan, Mohd Farizal Marlias dan K.Satish.

Pasukan itu turut dibarisi empat tonggak import iaitu Andik Vermanshah, Paulo Rangel, Junior Aparecido serta Stilianos Pantelidis.

9web

Pada musim 2014 ini, Selangor masih mengekalkan penajanya iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI) dan pengeluar pakaian sukan KAPPA.

EZY


Pengarang :