Selangorkini
NASIONAL

SAMM serah individu pakai jersi ‘Chelsea’ baling botol kepada polis

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 JAN: Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengesahkan  menahan dan menyerahkan individu terlibat dalam kejadian membaling botol minuman plastik ke arah polis ketika Perhimpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) berlangsung di Dataran Merdeka, malam tadi.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan, berkata tindakan itu perlu demi mengelakkan perhimpunan yang disertai kira-kira 10,000 orang itu dicemari kejadian tidak diingini sekaligus memburuk-burukkan imej perhimpunan bagi menyatakan bantahan kenaikan kos sara hidup dengan aman.

ambang2o14“Kami tidak berkompromi dengan pihak yang cuba menimbulkan suasana huru-hara dalam perhimpunan sebab itu kami serahkan pemuda itu kepada polis bertugas malam tadi di Dataran Merdeka.

“Berhimpun secara aman itu adalah hak yang dilindungi perlembagaan tetapi bertindak ganas tetap menyalahi undang-undang dan membahayakan orang ramai dan anggota keselamatan sendiri,” katanya kepada Selangor Kini hari ini.

Kata beliau lagi, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut mengesahkan individu itu bertanggungjawab membaling botol minuman plastik terhadap anggota keselamatan.

“Individu yang membaling botol itu tidak memakai baju warna hitam sebaliknya memakai baju jersi Chelsea berwarna biru.

“Ada ramai saksi nampak memang dia seorang sahaja yang baling botol dan masa dia ditahan dia sendiri pun tidak menafikannya,” kata Edy Noor.

Selain dari kejadian membaling botol minuman plastik, SAMM mengesahkan perhimpunan malam tadi berjalan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

samm“Tahniah kepada orang ramai khususnya golongan anak muda yang mampu mengawal emosi mereka ketika menyertai perhimpunan walaupun kecewa dengan tindakan kerajaan yang tidak memikirkan tekanan akibat peningkatan kos sara hidup,” katanya lagi.

SAMM turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak polis yang memberikan kerjasama bagi membolehkan perhimpuan berjalan lancar.

EZY


Pengarang :