NASIONAL

‘Sandiwara’ Lahad Datu: Umno tarik balik saman terhadap Tian Chua, Keadilan Daily

KUALA LUMPUR 13 JAN: Umno hari ini menarik saman yang difail terhadap Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berhubung laporan mengenai kejadian di Lahad Datu, Sabah sebelum ini.

Ia dibuat berikutan penjelasan Tian Chua yang menyatakan dakwaannya itu bukan merujuk kepada Umno sebagai parti poltik yang mengadakan konspirasi berkenaan.

Plantif iaitu Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh bagaimanapun meminta berita berkenaan diturunkan dari Keadilan Daily dan ia dipersetujui.

Bagaimanapun, tiada permohonan maaf dibuat mana-mana pihak.

Penyelesaian luar mahkamah itu dicapai dengan penghakiman dirakam depan Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop di Mahkamah Sivil, Jalan Duta pagi ini.

KD1Selain Tian, dua defendan lain ialah Ketua Editor Keadilan Daily, Fazallah Pit dan wartawan portal berkenaan, Aisha Geoffrey.

Umno memfail saman pada 15 Mac lalu terhadap artikel bertarikh 1 Mac 2013 bertajuk ‘Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno – Tian’

Keadilan Daily adalah versi dalam talian kepada Suara Keadilan, akhbar rasmi PKR yang diterbitkan seminggu sekali sekalipun hak memiliki permit penerbitannya dinafi pihak berkuasa.

Tidak seperti Utusan, Suara Keadilan mahupun Keadilan Daily tidak pernah kalah mana-mana saman di mahkamah dalam tempoh tiga tahun terakhir ini.

Sebelum ini, portal berkenaan berdepan saman fitnah daripada Umno Pulau Pinang tetapi mahkamah menolaknya berikutan isu locus standi.

– FZL


Pengarang :