NASIONAL

Satu lagi himpunan protes naik kos sara hidup dirancang 1 Mei

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 2 JAN: Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan terlibat dalam satu lagi perhimpunan membantah peningkatan kos sara hidup disebabkan dasar Kerajaan Pusat menaikkan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan, berkata perhimpunan yang akan diadakan pada 1 Mei nanti turut melibatkan beberapa NGO lain dengan memberikan penekanan bantahan ke atas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksankan pada April 2015 nanti.

SAMM2“Ketika ini kita sedang menyusun massa dan perbincangan dari semasa ke semasa diadakan agar perhimpunan nanti berjalan lancar. Kita akan maklumkan secara rasmi butiran himpunan ini pada masa yang sesuai nanti.

“Kita sudah ada banyak pengalaman mengadakan jadi SAMM yakin perhimpunan itu nanti boleh berjalan lancar seperti mana malam tadi,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perhimpunan ini juga akan diadakan di Dataran Merdeka seperti mana perhimpunan yang berlangsung malam tadi.

“Lokasi sebenar akan diputuskan nanti sebab bergantung kepada pelbagai keperluan semasa ketika itu,” katanya lagi

Katanya, perhimpunan seumpama itu akan terus diadakan selagi Kerajaan Pusat meneruskan dasar tidak prihatin dengan bebanan kehidupan terpaksa ditanggung rakyat gara-gara pembaziran, rasuah dan ketirisan kerajaan dalam menguruskan ekonomi dan sumber kewangan negara.

“Perhimpunan bantahan seperti ini akan terus diadakan selagi Kerajaan Pusat tidak menghiraukan kesusahan rakyat dan menipu rakyat dengan janji manis kononnya tidak menaikan harga barang untuk menang pilihan raya,” katanya lagi.

EZY


Pengarang :