Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Selangor mahu cipta pekerjaan inovatif, sasar pendapatan minima isi rumah RM4,000

Oleh : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengadakan sesi percambahan minda bersama pihak berkuasa tempatan dan jabatan kerajaan negeri bagi merangka hala tuju strategik untuk menjamin pertumbuhan ekonomi mampan di samping mengagihkan semula kekayaan negeri secara saksama.

Perbincangan dua hari ini telah menghasilkan satu set rumusan yang akan disusuli dengan pelan tindakan yang antara lain bakal menangani masalah kemiskinan bandar dan luar bandar.

Antara idea yang dikupas adalah strategi untuk mencipta peluang pekerjaan inovatif ke arah mencapai sasaran pendapatan isi rumah minimum RM4,000.

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03Kita juga telah mengenalpasti fokus pertumbuhan kepada industri bernilai tinggi yang boleh menjana ekonomi mampan seperti eletronik dan elektrik berteknologi tinggi, bioteknologi, teknologi hijau, industri berkaitan kesihatan dan perubatan, pelancongan, pendidikan serta bidang penyelenggaraan dan baik pulih pesawat (MRO).

Kita sedang mempertimbangkan ‘konsep pengkongsian keuntungan’ yang telah digunapakai secara meluas dalam industri minyak and gas untuk disesuaikan bagi sektor kuari dan perlombongan.

Kita juga telah mengenal pasti lokasi strategik di mana terdapat permintaan tinggi bagi perumahan mampu milik sebagai langkah mengatasi isu lonjakan harga rumah.

Kita juga sedang meneliti pelbagai program latihan teknikal khusus untuk belia luar bandar yang mana setiap kampung akan diminta menghantar lima peserta untuk menjalani kursus dalam bidang perbidanan, perpaipan, elektrikal dan sebagainya.

Berkat usaha gigih, kerjasama erat dan doa ikhlas semua pihak, saya yakin negeri Selangor mampu mencapai sasaran yang ditetapkan dalam tempoh yang munasabah.

Tambahan pula, kita diberitahu oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada sesi taklimat semalam bahawa Selangor dijangka mencapai pendapatan per kapita menepati definisi ” negara maju” menjelang 2016 dengan mengandaikan Senario A (Model Ekonomi Baharu) dan Senario C (berdasarkan prestasi pertumbuhan historikal Selangor).

Malah, bersandarkan dua senario yang sama, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor diunjurkan berkembang masing-masing pada kadar 6.8% dan 6.5% secara purata di antara 2013 dan 2023.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli EXCO, ketua PBT dan ketua jabatan kerajaan negeri atas penglibatan aktif dan maklumat berguna sepanjang perbincangan kali ini.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Speaker Negeri Selangor, Puan Hannah Yeoh dan para pegawai Dewan Negeri Selangor kerana berjaya menganjurkan sesi percambahan minda di Dime Darby Plantation Academy (SDPA) di Pulau Carey..

 


Pengarang :