NASIONAL

SPRM tahan bekas SU Politik, Pengarah Yayasan

PUTRAJAYA, 27 JAN: Dua orang termasuk seorang bekas setiausaha politik bergelar Datuk ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung penyelewengan dana lebih RM1.1 juta melibatkan tiga yayasan dan dijangka didakwa esok.

Pengarah Siasatan SPRM, Pesuruhjaya Datuk Mustafar Ali, berkata, seorang lagi yang ditahan itu merupakan pengarah yayasan yang diketuai bekas setiausaha politik terbabit.

logo SPRM“Kedua-dua individu yang berusia pertengahan 30-an dan awal 50-an itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, di bawah Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan pecah amanah wang melebihi RM1.1 juta dan penipuan melibatkan dana RM1 juta.

“Bekas setiausaha politik dan pengarah itu masing-masing ditahan pagi dan petang ini. Kedua-dua mereka dibebaskan dengan wang jaminan RM50,000 setiap seorang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, tiga yayasan terbabit yang ditubuhkan antara 1980-an dan tiga tahun lalu tidak didaftarkan sebagai badan kebajikan atau pertubuhan, sebaliknya bergerak sebagai sebuah syarikat dengan tanggungan berhad.

Kedua-dua individu berkenaan memegang jawatan sebagai pengarah dan pemegang amanah yayasan-yayasan terbabit dan difahamkan wang telah dikeluarkan bertentangan dengan objektif penubuhan yayasan.

“Seorang lagi pengarah yayasan yang turut bergelar Datuk telah ditahan berkaitan kesalahan di bawah Akta Syarikat, yang juga melibatkan yayasan berkenaan,” katanya.

EZY


Pengarang :