Selangorkini
NASIONAL

Tambang bas naik mendadak, Fomca gesa pengguna lapor pada SPAD

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 9 JANUARI : Orang ramai khususnya ibu bapa digesa supaya segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berhubung tindakan pengusaha bas sekolah yang didakwa menaikkan tambang secara mendadak mulai pertengahan Januari ini.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ibu bapa berhak untuk membuat aduan kepada SPAD berikutan kenaikan itu masih belum dikuatkuasakan pihak kerajaan.

FOMCAKatanya pengusaha bas sekolah tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil keputusan menaikkan tambang kerana ia jelas menyalahi undang-undang.

“Kalau ada bas yang menaikkan (tambang), ibu bapa atau pengguna boleh buat aduan kepada SPAD untuk ambil tindakan ke atas pengusaha berkenaan kerana ia belum berkuatkuasa lagi.

“Dari segi peraturan juga salah kerana selagi kerajaan tidak putuskannya, pengusaha tidak boleh bertindak sesuka hati,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Terdahulu, sebahagian besar ibu bapa pelajar dari sembilan lokasi di Bagan Datoh, Perak menyatakan rasa tidak puas hati mereka berhubung kenaikan tambang bas sekolah berkuatkuasa pertengahan Januari ini.

Ia berikutan kenaikan tambang bas sehingga RM25.97 bagi setiap pelajar itu dilihat tidak munasabah dan membebankan ibu bapa.

demo pelajarMalah sekumpulan ibu bapa dan pelajar di sekitar kawasan itu turut mengadakan demonstrasi secara aman sebagai simbolik protes berhubung kenaikan kadar tambang bas.

Mengulas lanjut, Yusof berkata Kerajaan Pusat perlu mengambil tindakan tegas ke ataspengusaha bas yang didapati mengambil kesempatan dengan menaikkan kadar tambang kerana ia membebankan golongan ibu bapa.

Katanya penguatkuasaan lemah daripada pihak kerajaan akan menyebabkan lebih ramai pihak mengambil kesempatan susulan kenaikan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan yang diumumkan baru-baru ini.

“Kalau Kerajaan Pusat tidak buat apa-apa, pengguna akan rasa tertindas dan tidak yakin dengan penguatkuasaan kerajaan.

“Sesiapa pun akan mudah mengambil kesempatan sekiranya penguatkuasaan itu lemah dan tidak tegas, jadi kita harap pihak berkenaan tampil menyelesaikan masalah ini kerana kita bimbang ia akan semakin serius,” katanya lagi.

Difahamkan kenaikan harga tambang bas sekolah itu adalah susulan kenaikan harga minyak 20 sen bagi satu liter.

EZY

 


Pengarang :