SELANGOR

Twitter Ean Yong digodam papar kenyataan palsu

SHAH ALAM 28 JAN: Exco Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu serta Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah mendakwa akaun twitternya digodam tanpa pengetahuannya.

ean yong hian wahBeliau yang juga Adun Seri Kembangan berkata perkara itu disedarinya selepas dimaklumkan seorang ahli jawatankuasa parti yang menghantar gambar mempamerkan akaun twitter miliknya dengan satu kenyataan palsu, pagi semalam.

Status bertarikh 9 Januari itu mempamerkan kenyataan beliau menuduh PKR dan Pas tidak mampu menyelesaikan isu berkaitan ahli majlis.

“Saya tidak perasan sehinggalah diberitahu pagi tadi (semalam), saya periksa rekod memang tidak pernah hantar status seperti itu, tak mungkin saya ‘tweet’ kenyataan seperti dipamer,” katanya dipetik Sinar Harian.

Katanya, beliau tidak tahu apa agenda pihak tidak bertanggungjawab menggunakan dan menggodam akaun laman twitternya.

Beliau akui kesal dengan apa yang berlaku dan mengutuk tindakan dipercayai untuk mencipta pertelingkahan antara ahli dalam kalangan parti Pakatan Rakyat (PR).

EZY


Pengarang :