NASIONAL

Umno kecoh isu Giat Mara Selayang, membisu kes Kolej Yayasan Felda

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JAN: Umno tidak ikhlas memperjuangkan nasib generasi muda Melayu sebaliknya hanya mengambil kesempatan dengan memutar belit isu Pusat Latihan Kemahiran Giat MARA Selayang bagi kepentingan politik mereka.

Hal itu dapat dilihat apabila Umno sehingga kini membisu seribu bahasa dalam isu Felda memotong bajet daripada RM16 juta kepada RM5 juta untuk setahun bagi empat Kolej Yayasan Felda di Kelana Jaya (Selangor), Trolak (Perak), Mempaga (Pahang) dan Raja Alias (Negeri Sembilan), sekali gus berhadapan kemungkinan besar operasinya ditutup terus.

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, berkata Umno harus memperhalusi isu Giat Mara di Selangor dan mengamalkan pendirian yang tidak dwi-standard dalam dua isu terbabit.

mazlan aliman_1“Isu Giat Mara ini berbeza dengan Kolej Yayasan Felda kerana pusat itu daif dan tidak diurus dengan baik oleh Mara dan Menteri Besar Selangor juga memberi saranan dibaiki kerosakan dan dinaik taraf untuk keselesaan pelajar.

“Perkembangan ini mengingatkan saya pada kertas cadangan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia yang jelas menyebut; Felda akan mengurangkan fokus terhadap pembangunan sosial. Hujahnya, FGVH adalah syarikat senaraian awam yang berteraskan perdagangan, selain tidak lagi terikat kepada perkhidmatan sosial seperti pembangunan modal insan.

“Beli hotel, apartment, ladang dan pelaburan bernilai bilion ringgit dibuat dengan cepat, tetapi untuk pendidikan anak peneroka yang jumlahnya begitu kecil pun berkira,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, sebelum ini setiap kolej terbabit diberi peruntukan RM5 juta setahun tetapi sekarang jumlah sama untuk dikongsi semua kolej, sekali gus memberi isyarat awal langkah penutupan seperti yang dilaporkan media.

kolej yayasan felda“Ini adalah kesan yang menjadi malapetaka kepada warga Felda khususnya anak peneroka yang dahagakan kursus dan latihan kemahiran. Pemotongan bajet terhadap Kolej Felda jika dilaksanakan akan membunuh impian ribuan anak peneroka seluruh negara dan dianggarkan kolej itu boleh menampung kira-kira 1,000 pelajar bagi setiap sesi pengajian

“Mana pembangunan modal insan yang acapkali di banggakan (Ketua Pengarah Felda) Faizoull Ahmad? Apa gunanya MOU dengan Kolej West Cheshire & Universiti Chester yang dihebahkan lanjutan daripada Kolej Felda,” katanya.

Mazlan berharap Lembaga Pengarah Felda yang akan bermesyuarat minggu hadapan bukan sahaja membatalkan keputusan memotong bajet kepada kolej terbabit tetapi turut menambah mengikut keperluan pendidikan anak peneroka Felda.

-NFN-


Pengarang :