SELANGOR

Umno usah berlagak jaguh kritik kerajaan negeri

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 17 JAN: Sikap hipokrit Umno yang kononnya memperjuangkan pendidikan belia Melayu dalam isu Pusat Latihan Giat Mara Selayang adalah sangat menjengkelkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Zaidy Abdul Talib, berkata selama ini Umno tidak pernah peduli akan keadaan pusat latihan itu yang didirikan atas tapak tidak sah status tanah dengan keadaan bangunan dan kemudahan yang serba kekurangan.

ZaidyKatanya, Umno harus membuktikan terlebih dahulu akan ‘keprihatinan’ mereka terhadap pendidikan belia Melayu sebelum sibuk menyalak menyalahkan kerajaan negeri.

“Jadi, saya minta kepada Umno supaya berhenti menjadi pejuang hipokrit dalam isu bangsa dan agama seperti yang mereka laungkan selama ini.

“Sebaliknya, buktikan kepada semua melalui tindakan yang sewajarnya walaupun saya memang ragui akan keikhlasan dan keupayaan mereka,” kata Zaidy dalam status laman ‘Facebook’ yang dimuat naik semalam.

Umno sebelum ini giat mengkritik pentadbiran kerajaan negeri yang didakwanya tidak bertimbang rasa sehingga sanggup mengusir Pusat Latihan Giat Mara dalam notis 12 bulan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menjelaskan bahawa hasil pemantauan “Task Force’ kerajaan negeri mendapati keadaan bangunan berkenaan kurang memuaskan di samping bidang latihan yang disediakan tidak produktif, pada 15 Januari lalu.

Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, kerajaan negeri akan menimbang semula keputusan itu dan bersedia memberi bantuan kewangan untuk menaik taraf bangunan jika pihak Giat MARA tidak berkemampuan.

Mengulas lanjut, Zaidy yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor berkata, beliau sedia berbincang dengan kerajaan negeri bagi memastikan latihan itu dapat terus dikekalkan untuk kemudahan belia setempat.

IMG_1066a (1)“Pada masa sama, saya juga berharap usaha ini mendapat kerjasama baik daripada pihak Giat Mara dalam menaik taraf pusat latihan ke tahap lebih baik lagi.

“Jika memang kawasan itu tidak sesuai, saya sendiri akan membantu untuk mengenal pasti tempat yang lebih sesuai di sekitar Selayang,” katanya.

Semalam, Zaidy turut berkesempatan melawat ke pusat latihan berkenaan dan disambut baik pihak pengurusan dan tenaga pengajar yang bertugas.

Hasil lawatan singkat itu, Zaidy mendapati keadaan infrastruktur bangunan memang perlu dinaik taraf untuk keselesaan pelajar khususnya dewan kuliah yang ditempatkan di dalam kabin dua tingkat serba kekurangan selain persekitaran sangat sempit dan tidak selesa.

Beliau diberitahu, bangunan berkenaan sebenarnya diubah suai daripada sebuah dewan orang ramai yang terbiar sebelum ini.

Justeru, beliau berharap kerajaan pusat dan Giat Mara lebih prihatin dengan memastikan kebajikan serta keselesaan pelajar terjaga bagi membolehkan mereka menimba ilmu juga latihan dengan baik.

-NFN-


Pengarang :