SELANGOR

Wanita PKR Pusat, Selangor sokong pencalonan Anwar di DUN Kajang

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 JAN: Wanita Keadilan menyatakan sokongan penuh atas pencalonan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddinberkata, pencalonan itu adalah satu kewajipan berat bagi seorang pemimpin hebat seperti Anwar yang harus dilaksanakan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, apa yang dilakukan Anwar juga adalah demi kebaikan dan kelangsungan kecemerlangan parti dan Pakatan Rakyat (PR) secara keseluruhannya.

Zuraida 4“Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah melalui pelbagai dugaan dan cabaran, kini beliau tampil sekali lagi untuk melaksanakan tanggungjawab besar dalam isu terbaru.

“Hanya keberanian sahaja yang membolehkan seseorang membuat keputusan sukar sebegini,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Anwar sebagai calon yang akan bertanding di kerusi DUN Kajang yang dikosongkan Lee Chin Cheh, pada 27 Januari lalu.

Pencalonan Anwar turut mendapat restu daripada pimpinan parti PAS dan DAP yang berjanji untuk membantu kemenangan lebih besar di Kajang.

Sehubungan itu, Zuraida menyeru semua anggota parti untuk berhenti membuat sebarang spekulasi dan tanggapan liar terhadap pencalonan berkenaan.

“Kini, tugas utama kita adalah untuk menumpukan perhatian terhadap PRK Kajang dan memastikan bahawa kali ini menang dengan majoriti lebih besar.

“Kami akan terus bersatu dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

rodziahSokongan penuh terhadap Anwar turut dinyatakan Wanita Keadilan Selangor yang turut berikrar untuk membantu jentera PRK Kajang bagi memastikan kemenangan milik PKR.

Timbalan Ketua Wanita Pusat PKR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, berkata pergolakan politik sentiasa menjadi cabaran dan lumrah untuk diatasi ahli politik.

“Lumrah dalam arena politik bahawa lawan akan menggunakan apa sahaja untuk memusnahkan apa yang ada di dalam genggaman kita. Tidak kurang juga mereka yang menangguk di air keruh, sering mengambil kesempatan dalam setiap krisis dan kekurangan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :