Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

AMK Selangor cabar BN namakan segera calon PRK Kajang

Oleh : Azmizam Zaman Huri

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah pun menetapkan tarikh 23 Mac 2014 sebagai hari pengundian bagi Pilihanraya Kecil menentukan wakil rakyat baru bagi Dewan Undangan Negeri N25 Kajang. Seperti yang diketahui umum, Parti Keadilan Rakyat meletakkan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi mempertahankan kerusi tersebut, dan kini menunggu siapakah lawan yang bakal memberikan saingan kepada Ketua Umum Keadilan itu.

Angkatan Muda Keadilan Selangor hari ini mencabar Barisan Nasional untuk segera menamakan calon mereka bagi Pilihanraya Kecil Dun N25 Kajang bagi menghadapi Dato Seri Anwar Ibrahim dan membuktikan dakwaan mereka bahawa Keadilan tidak lagi relevan dan ditolak rakyat.

AMK Selangor percaya Barisan Nasional hanya tahu cakap kosong tetapi hakikatnya tidak berani untuk menghadapi Dato Seri Anwar Ibrahim pada Pilihanraya Kecil kali ini. Respon Barisan Nasional nyata berbeza berbanding lima tahun lalu apabila Dato Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan penyandang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

AMK Selangor meyakini bahawa Barisan Nasional sedang bergelut dengan isu perebutan kerusi antara Umno dan MCA, rata-rata kedua belah pihak meragui keupayaan satu sama lain dan mahu menjadi jaguh di Kajang. Namun, sambutan hebat masyarakat pelbagai kaum di Kajang terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim membantutkan niat mereka dan mula menjadikan perancangan mereka tergendala.

Kajian UMCDEL yang meramalkan Dato Seri Anwar Ibrahim bakal meraih majoriti lebih besar juga menambah kecut Barisan Nasional yang seringkali lantang memperlekeh Pakatan Rakyat dan Dato Seri Anwar Ibrahim. Ini adalah berdasarkan faktor calon, kekuatan jentera serta kesediaan rakyat untuk menerima perubahan dalam hala tuju pentadbiran Selangor.

Justeru, AMK Selangor sekali lagi melontarkan cabaran agar Barisan Nasional menamakan calon mereka dengan segera dan tidak cakap-cakap kosong tetapi hakikatnya takut berdepan kekalahan sekali lagi di Dun Kajang ini yang telah menjadi kubu kuat Pakatan Rakyat. Tidak ada gunanya hanya berani di media sedangkan gagal terjemah sokongan rakyat di medan sebenar.

PERTAHANKAN SELANGOR, MARA KE PUTRAJAYA

#Azmizam adalah Ketua AMK Selangor merangkap Naib Ketua AMK Malaysia


Pengarang :