Selangorkini
SELANGOR

Anwar akan bertemu MB, bincang isu pemecatan 23 kakitangan PKNS

Oleh : AFIX REDZUAN

KAJANG, 6 FEB: Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi meminta penjelasan berhubung pemecatan 23 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Katanya, pertemuan itu berkemungkinan akan diadakan malam ini bagi mendapatkan gambaran sebenar.

“Saya sudah minta Abdul Khalid bincang dan beri penjelasan kepada saya kerana tidak dapat maklumat teliti.

“Mungkin Abdul Khalid akan bawa malam ini,” katanya kepada media selepas majlis Hi-Tea di Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, di sini, semalam.

DSC_9803Media sebelum ini melaporkan 23 kakitangan perbadanan itu diberhentikan tanpa sebab dan tidak diberikan notis lebih awal.

Namun, PKNS dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan itu dibuat terhadap pekerja berstatus kontrak bagi mengelakkan pertindihan tugas.

Berhubung penolakan Pemuda PAS Selangor terhadap kemungkinan dirinya dicalonkan sebagai Menteri Besar baru jikaa menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang Anwar berkata, keputusan berkenaan perkara itu hanya mengambil kita pandangan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR).

“Kalau ikut prosedur yang kita bincang dalam majlis tertutup PR, biasanya saya tidak pernah layan dan kedudukan saya tidak membolehkan saya membuat komen selain daripada keputusan bersama dan kini tumpuan pada PRK Kajang,” katanya.

Mengulas cabaran bekas Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk S Nallakarupan yang menawarkan diri untuk bertanding, Ketua Umum PKR itu hanya ketawa sinis sambil menyifatkan ahli Dewan Negara terbabit mendapat habuan.

“Anda anggap ini cadangan serius? Kalau anda ketawa, maknanya tidak serius dan tidak payah layan.

“Nak dekat pilihan raya, banyak tokoh, pelaku yang sama mungkin kerana dana keuntungan menjelang pilihan raya itu akan meningkat,” katanya.

-NFN-


Pengarang :