Selangorkini
NASIONAL

Anwar bakal lancar kempen selamatkan industri padi dalam bendang

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 27 FEB: PKR mengumumkan akan melancarkan kempen selamatkan industri padi oleh rakyat untuk rakyat dengan matlamat mengembalikan objektif asal penubuhan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas).

Kempen itu akan dilancarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan disertai masyarakat pengusaha sawah bertempat di dalam bendang sawah di lokasi yang akan diumumkan kemudian.

PC Rafizi 262Naib Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, kempen itu mensasarkan matlamat menamatkan status pengimport tunggal beras yang dinikmati Bernas dengan membenarkan lebih banyak syarikat memasuki pasaran bagi membolehkan persaingan sekaligus pengguna memperolehi harga lebih rendah.

“Kempen ini juga bermatlamat supaya kerajaan melantik satu badan awam untuk mengawal selia dan memantau industri beras bagi memastikan kepentingan dan kebajikkan para petani dan pengguna dilindungi.

“Ia juga memberi tumpuan semula kepada dasar pertanian negara untuk meningkatkan pengeluarkan beras sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada beras import,” kata Hsiao Leung dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini,semalam.

Hsiao Leung membidas sikap Kerajaan Pusat mengabaikan syarat ketika Bernas mengambil alih peranan Lembaga Padi Negara (LPN) pada 1994  hingga menjejaskan kepentingan negara, petani dan pengguna apabila Bernas dibiarkan menyimpang jauh daripada tujuan asal penubuhannya.

Sebaliknya Bernas yang pemegang saham majoriti dimiliki Syed Mohtar Al-Buhary sebanyak 83.69 peratus ketika ini dilihat memonopoli industri beras negara.

Ia sekaligus menjadikan Bernas sebagai platform untuk beliau mengaut keuntungan berganda dengan mengabaikan tanggungjawab kepada kepentingan negara, petani dan pengguna.

“Sebenarnya, tidak ada satu pun kerajaan yang bertanggungjawab di dunia akan menyerahkan pengurusan dan keselamatan makanan utama rakyatnya kepada sebuah syarikat swasta milik seorang individu,” kata Hsiao Leong.

Lebih malang lagi tambah Hsiao Leung, Menteri Pertanian sendiri pula bertindak seolah-olah sebagai juru cakap kepada Bernas dalam mempertahankan setiap tindak-tanduk Bernas termasuk ketika Bernas dikeluarkan dari penyenaraian awam di Bursa Malaysia pada 2013.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bela Tani, Mohd Sobri Said pula berkata sebelum ini para petani melalui pelbagai persatuan membantah tindakan membenarkan Bernas mengambil peranan dari LPN tetapi tidak dihiraukan kerajaan.

“Tengok apa dah jadi sekarang ini. Kerajaan sudah hilang kawalan ke atas Bernas. Bernas buat sesuka hati sahaja membelakangkan tanggungjawab sebenar mereka,” kata Mohd Sobri.

EZY


Pengarang :