Selangorkini
SELANGOR

Anwar ‘puji’ tindakan SPR beri tempoh panjang berkempen

KAJANG, 6 FEB: Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selama 13 hari yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapat reaksi positif Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Secara berseloroh Anwar memuji keputusan SPR yang memberikan tempoh berkempen antara yang panjang dalam sejarah PRK.

Katanya, selama ini perkara itu di desak pelbagai pihak dan akhirnya ditunaikan SPR.

EMY_5740“Apa bagus betul bagi masa lama pada Anwar. Ini adalah masa PRK yang panjang diberikan iaitu sebulan setengah pada Anwar,” katanya di hadapan kira-kira 300 orang hadirin di Taman Kajang baru, di sini, semalam.

SPR memaklumkan tarikh penamaan calon bakal diadakan pada 11 Mac ini, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 19 Mac ini.

Tarikh pembuangan undi akan berlangsung 23 Mac ini dan perkara itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, pada 5 Februari ini.

Anwar menjelaskan, beliau akan sedaya upaya membantu menyelesaikan masalah setempat antaranya masalah trafik dan kemudahan asas.

Tegasnya, PRK kali ini adalah peluang untuk mengegarkan isu nasional termasuk monopoli dan kenaikan harga barang.

-NFN-


Pengarang :