Selangorkini
SELANGOR

Kajian UMCEDEL: 70% percaya penyalahgunaan kuasa BN faktor sokongan PR bertambah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 22 FEB: Kaji selidik dijalankan Kajian Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) menunjukkan 65 peratus pengundi yang bakal mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang berpendapat penyalahgunaan kuasa berlaku Kerajaan BN menyebabkan sokongan diterima Pakatan Rakyat (PR) bertambah.

Dalam kajian melibatkan 576 responden dipilih secara rawak daripada pelbagai latar belakang sekitar Kajang itu juga mendapati hanya 17 peratus sahaja tidak bersetuju dengan kenyataan ‘penyalahgunaan kuasa menyebabkan sokongan diberikan kepada PR’ manakala 18 peratus lagi menjawab tidak pasti.

Umcedel 70Pengarah UMCEDEL Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kajian yang dijalankan pada 14 hingga 15 Febuari itu turut mendapati sebanyak 70 peratus kakitangan kerajaan sendiri turut bersetuju sokongan yang diraih PR disebabkan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan berbanding 21 peratus tidak setuju dan sembilan peratus lagi tidak pasti.

Sementara itu ketika membentangkan hasil kajian berkaitan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melengahkan hari pengundian, Dr Mohammad Redzuan berkata ini adalah kali pertama berlaku dalam sejarah PRK negara ini dan mampu menjejaskan kewibawaan suruhanjaya pengendali pilihan raya itu.

UMCEDEL SPR“Kali pertama dalam sejarah PRK diadakan begini lewat sehingga lebih sebulan setengah. Sepatutnya SPR sentiasa bersedia kerana PRK boleh ada pada bila-bila masa sahaja sama ada disebabkan kematian atau lain-lain perkara yang tidak dijangka,” kata beliau ketika membentangkan kajian PRK Kajang di Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya (UM) di sini Khamis lalu.

Kajian itu mendapati, 48 peratus pengundi Kajang bersetuju dengan kenyataan ‘pembuangan undi PRK Kajang yang dilengahkan menjejaskan kewibawaan SPR’ berbanding 13 peratus mengatakan tidak manakala 39 peratus lagi tidak pasti.

EZY


Pengarang :