Selangorkini
NASIONAL

KLIA 2: Gagal peroleh CCC korban dana awam, keselamatan awam terancam

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 FEB: Kegagalan kontraktor usaha sama UEMC-Bina Puri mendapatkan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bagi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) bakal menjadikan keselamatan orang awam yang menggunakan perkhidmatan lapangan terbang itu terancam.

Keadaan itu boleh berlaku jika Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein masih dengan keputusannya untuk membuka KLIA 2, pada 2 Mei ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata perkara seperti itu dapat dielakkan jika tender projek berkenaan dijalankan secara telus dan adil, bukannya melalui rundingan terus dengan syarikat kroni yang tidak mempunyai kelayakan.

tian chua pc pkr 01“Inilah akibatnya bila tender sesuatu projek diuruskan dengan cara salah dan akhirnya bukan sahaja dana awam dijadikan korban, bahkan keselamatan orang awam juga boleh terancam jika KLIA 2 ini dibuka dalam keadaan tergesa-gesa tanpa kelulusan keselamatan pihak berwajib.

“Rakyat sudah mula menanggung kerugian bila projek ini ditangguhkan beberapa kali yang tentunya membabitkan pertambahan daripada kos asal pembinaan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Mengikut pelan asal, KLIA 2 dijangka dapat disiapkan pada September 2011 sebelum ditangguhkan beberapa kali, sekali gus dikatakan membabitkan kos tambahan akibat kelewatan kerja pembinaan.

Hari ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan medianya melaporkan UEMC-Bina Puri gagal memperoleh CCC disebabkan dua pertiga daripada bangunan terminal utama lapangan terbangan itu tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran selepas pemeriksaan dijalankan, akhir Januari lalu.

Selain itu, terdapat keretakan dalam paip pembetungan di luar terminaldan bahagian jalan serta perparitan tidak sesuai untuk digunakan, sekali gus CCC tidak dapat dikeluarkan.

Bagaimanapun Hishamuddin menegaskan tidak ada sebarang tarikh penangguhan untuk tarikh pembukaan KLIA 2 dan bermakna lapangan terbang itu akan tetap dibuka, pada 2 Mei ini.

-NFN-


Pengarang :