Selangorkini
SELANGOR

Pakatan Rakyat boleh lupakan Putrajaya jika Anwar tewas PRK Kajang

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 6 FEB: Pakatan Rakyat (PR) boleh melupakan hajat untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sekali gus menakluki Putrajaya jika tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, pada 23 Mac ini.

Hal itu berikutan kemenangan calon PR dalam PRK Kajang nanti iaitu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja membantu mengukuhkan lagi penguasaan PR di Selangor, bahkan menjadi tapak pelancar untuk mara ke Putrajaya nanti.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Phua berkata, perkara itu turut disedari Barisan Nasional (BN) yang sudah pasti akan bermati-matian melaksanakan pelbagai kempen politik kotor bagi memastikan PR tewas dalam PRK kedua pasca PRU-13 itu.

DSC_9934“PRK Kajang adalah sangat penting. Kalau Anwar tewas di Kajang, PR akan berakhir dan lupakan PRU-14, lupakan ‘ubah’, lupakan ‘change’ dan reformasi.

“BN akan melakukan apa sahaja kerana mereka tahu kalau PR kalah, berakhir riwayat politik Datuk Seri Anwar dan PR” katanya sempena forum penerangan Langkah Kajang yang diadakan di Hotel Empire, di sini, semalam.

Tony Phua berkata, beliau menggesa pengundi DUN Kajang memastikan kemenangan Anwar bagi memberi PR menerajui pentadbiran kerajaan pusat, sekali gus memperbaiki kerosakan yang dilakukan BN sepanjang mentadbir negara ini.

Sementara itu, mengulas peranan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar, beliau menyifatkan Abdul Khalid sudah meletakkan komitmen 100 peratus bagi memastikan urus tadbir kerajaan negeri berjalan lancar sehingga Selangor mencapai pelbagai kejayaan hanya dalam masa enam tahun dan jauh lebih baik daripada rekod 50 tahun pentadbiran BN di negeri itu.

“Saya penyokong kuat Abdul Khalid. Ingat lagi isu Talam Corporation? Saya juga berusaha membantu memberi penerangan supaya rakyat tahu perkara sebenar isu hutang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad pula menyifatkan langkah mengosongkan kerusi Kajang disusuli meletakkan Anwar sebagai calon adalah langkah strategik yang dikenali ‘pertahanan ke hadapan’.

DSC_9972Katanya, ‘pertahanan ke hadapan’ atau ‘foward defense’ merujuk kepada strategi peperangan iaitu melakukan serangan terlebih dahulu sebelum diserang bagi tujuan mempertahankan sempadan sesuatu negara diceroboh musuh.

“Ini langkah yang berisiko, tetapi setiap yang mempunyai risiko itu mampu memberi pulangan lebih baik,” katanya.

Dr Dzulkefly turut menegaskan, walaupun PKR tidak mengadakan perbincangan bersama PAS atau DAP sebelum tercetusnya isu perletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, namun parti itu tetap berdiri teguh bersama PR bagi memastikan kemenangan Anwar dalam PRK itu nanti.

Selain Phua dan Dr Dzulkefly, forum itu turut menampilkan  Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga.

Forum yang dipengerusikan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Nik Nazmi Nik Ahmad itu dihadiri kira-kira 200 hadirin.

-NFN-


Pengarang :