Selangorkini
SELANGOR

TOD bakal minimumkan jumlah kenderaan di jalan raya – MB

Oleh Lizawati Madfa

KAJANG 15 FEB: Kerajaan Selangor akan melaksanakan perancangan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, seterusnya meminimum jumlah kenderaan persendirian di jalan raya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata konsep itu terbukti berupaya mengurangkan pergerakan bandar, kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.

Katanya, TOD dapat mendidik masyarakat mengamal gaya hidup lebih sihat berbanding dengan penggunaan kenderaan persendirian selama ini.

DSC_0246“Contoh, rakyat Singapura berjalan kaki lebih dua batu bagi mendapatkan perkhidmatan transit. Ini secara tidak langsung senaman harian mereka.

“Jika kita lakukan yang sama, kita dapat jimatkan perbelanjaan, mengurangkan gas karbon dioksida di udara, malah menjadi lebih sihat.

“Cuma, kita perlu pastikan pengurusan masa tepat dan tidak membebankan masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

DSC_0590 (1)Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Gaya Hidup Sihat (Sihat Selangor) 2014 di Dataran Cergas di sini, pagi tadi.

Hadir sama ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah serta Exco Selangor, Dr Daroyah Alwi dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Terdahulu, Abdul Khalid dan tetamu kehormat lain menyertai orang ramai menjayakan program ‘Berjalan 10, 000 Langkah’ mengelilingi trek dataran.

Abdul Khalid turut menyampaikan sumbangan RM36,000 kepada semua 12 PBT dengan setiap satu menerima RM3, 000 bagi menjayakan program Sihat Selangor.

DSC_0344Selain berjalan kaki, acara lain ialah pertunjukan seni mempertahankan diri seperti silat dan aikido, pertandingan tarik tali serta pameran gerai.

“Program hari ini bukti komitmen kerajaan negeri sentiasa prihatin akan amalan gaya hidup sihat rakyat Selangor demi kesejahteraan yang berpanjangan.

“Program ini bukan terhenti di sini sahaja, malah diteruskan di kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain,” katanya.

– FZL


Pengarang :