NASIONAL

Hadi: Isu MH370, Islam sabitkan kematian tidak diketahui sehingga 4 tahun

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Islam memberi tempoh sehingga empat tahun untuk mensabitkan kematian terhadap kehilangan seseorang yang tidak diketahui sama ada kedudukan atau hidup matinya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, selagi tidak ditemui jasad atau bukti mensabitkan kematiannya secara fizikal, maka tempoh empat tahun perlu diambil kira.

“Daripada segi Islam, pernah disabitkan kematian selepas berlalu selama empat tahun. Selagi tidak jumpa, selagi tidak sampai empat tahun, maka terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan hal itu,” katanya pada sidang media pimpinan Pakatan Rakyat (PR) di Parlimen, di sini, hari ini.

Memetik Harakah Daily, sidang media yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang itu dibuat khas sebagai reaksi terhadap pengumuman terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu pesawat MH370, semalam.

Haji Abdul Hadi AwangHadi turut menjelaskan, hukum empat tahun itu merujuk satu kisah pada zaman Khalifa kedua, Saidina Umar yang dikatakan menunggu sehingga empat tahun sebelum memutuskan fasakh seorang wanita yang kehilangan suaminya untuk berkahwin lain.

“Selagi tidak dapat bukti jasad, fizikal atau saintifik, hukum ini terpakai. Kita tidak boleh bergantung hanya kepada imej satelit, yang mengandaikan pesawat pecah.

“Kita perlu terus mencari sehingga jumpa kotak hitam, baru kita boleh sahkan,” katanya.

Terdahulu, Najib memaklumkan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan akan bersidang pada jam 6.00 petang ini bagi membincangkan solat jenazah ghaib.

Bercakap ketika membentangkan usul takziah di Dewan Rakyat hari ini, Najib juga memaklumkan bahawa kerajaan tidak berhasrat memasang bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung, sehingga bahagian badan pesawat MH370 ditemui.

Beliau juga berkata, usaha mencari diperhebatkan dan tidak menolak kemungkinan berdepan dengan kesukaran luar biasa.

Usul tersebut menyusul selepas semalam beliau mengumumkan bukti sedia ada merumuskan pesawat MH370 mengakhiri penerbangannya di pertengahan Lautan Hindi, di sebelah Barat Perth.


Pengarang :