Selangorkini
SELANGOR

Institusi kewangan sorok petisyen muflis untuk dapatkan hak lelong aset peminjam?

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebuah institusi kewangan didakwa sengaja menyorokkan Petisyen Pendengaran Muflis daripada seorang peminjam dipercayai bagi membolehkan peminjam terbabit diisytiharkan muflis mengakibatkan rumahnya dilelong institusi kewangan berkenaan.

Peminjam berkenaan, R Kaliamah ketika mengadu di pejabah Ahli Parlimen Kapar mendakwa sebelum itu beliau pernah mengadakan perbincangan dengan pihak institusi kewangan terbabit untuk menyelesaikan bayaran pinjaman secara ansuran tetapi ditolak.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan, berkata peminjam itu hanya menerima sepucuk surat daripada institusi kewangan itu yang mengarahkannya untuk hadir pada satu sesi pendengaran petisyen pemiutang untuk tindakan muflis tanpa menyatakan lokasi mahkamah dan masa perlu hadir, pada 3 Mac lalu.

Adun kapar G Manivanan“Malangnya, pada surat itu tiada sebarang butiran lanjut seperti mahkamah mana dan waktu jam berapa Kaliamah perlu hadir untuk mendengar kes berkenaan.

“Dia juga tidak menerima sebarang notis daripada mahkamah berkenaan pendengaran kes itu. Perkara ini amat mendukacitakan kerana suaminya, M Kajarajan sebelumnya diisytiharkan muflis pada 7 Jun 2013 juga melalui proses yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Bagi membantu Kaliamah, Manivanan bertindak menghubungi beberapa kakitangan institusi kewangan itu tetapi hanya memberitahu mereka berada di luar pejabat ketika itu dan meminta beliau hubungi talian am.

“Kakitangan terbabit meminta Pejabat Parlimen Kapar menghubungi talian am, namun begitu, sejak jam 2.30 petang talian berkenaan tidak dijawab sehingga tamat waktu pejabat.

“Ekoran kejadian itu, saya mengeluarkan notis segera kepada Bahagian Korporat institusi kewangan terbabit melalui faks dan meminta mereka menghubungi pejabat atau terus kepada peminjam bagi memberikan maklumat yang diperlukan tetapi mendukacitakan, tiada respon diterima daripada pihak institusi kewangan itu hingga hari ini,” katanya.

Manivanan berkata, kegagalan Kaliamah hadir bagi pendengaran petisyen pemiutang di mahkamah yang tidak diketahui masa dan lokasinya boleh menyebabkan rumah yang dibelinya menerusi pinjaman itu dilelong institusi kewangan terbabit.

“Diakui, rekod menunjukkan beberapa kecuaian membayar ansuran dilakukan, namun itu bukan tiket dan alasan untuk institusi kewangan tersebut sewenang-wenangnya menyembunyikan apa juga maklumat petisyen serta prosiding yang perlu didengar daripada pengetahuan peminjam,” katanya.

-NFN-


Pengarang :