Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Jangan buat spekulasi anak kapal, penumpang MH 370

Oleh Tan Sri Khalid Ibrahim

Kerajaan Selangor amat sedih dengan perkembangan terbaharu yang dilaporkan oleh media antarabangsa mengenai pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal yang disyaki telah dirampas.

Kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal yang terlibat dan berharap misi mencari dan menyelamat semua mangsa  akan berjaya.

Kita juga berharap agar rakyat jangan membuat spekulasi terhadap mana-mana anak kapal atau penumpang kerana ini hanya akan menyukarkan keluarga mereka yang sedang mengalami suasana sukar ketika ini.

Sebaliknya rakyat Malaysia perlu memberi sokongan moral kepada ahli keluarga mereka agar terus tabah dan bersabar menghadapi ujian ini serta berdoa agar operasi menyelamat berjalan lancar dengan diselesaikan dengan secepat mungkin.

Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Selangor juga mengucap terima kasih kepada anggota keselamatan Malaysia dan 13 negara asing yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat ini.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Selangor meminta semua masjid dan surau di seluruh negeri supaya terus mengadakan solat hajat bagi mendoakan operasi mencari dan menyelamat ini lancar untuk keselamatan semua yang terlibat.

* Tan Sri Khalid Ibrahim ialah Menteri Besar Selangor


Pengarang :