KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Pusat, MAS wajib pertahan nama baik anak kapal MH370

Oleh : G Manivanan

Saya melahirkan rasa amat sedih dan berkongsi kedukaan dengan seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa berhubung tragedi MH370. Penerbangan Boeing 777 dari Kuala Lumpur ke Beijing itu dilaporkan berakhir di Lautan Hindi, dan di satu kawasan yang jauh terpencil dimana tiada jiwa yang dilaporkan selamat. 

Satu laporan yang dipetik dari The Telegraph tulisan Jonathan Pearlman begitu mencalar hati kita semua. Walaupun tulisan tidak menyebut nama juruterbang secara langsung, namun persepsi negatif  telah dibina berdasarkan artikel tersebut. Kapten Zaharie Ahmad Shah didakwa terlibat dengan perbuatan membunuh diri yang membawa kepada nahas pesawat terbabit. Berita ini turut dilaporkan semula oleh portal Malaysian Insider edisi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Saya percaya bahawa Kerajaan Malaysia dan Penerbangan Malaysia wajib mempertahankan imej dan nama baik Kapten Zaharie serta seluruh anak kapal. Artikel tersebut ternyata melukakan hati ahli keluarga mereka khasnya dan rakyat Malaysia secara amnya. Saya yakin Kapten Zaharie serta anak kapal telah melakukan yang terbaik bagi memastikan keselamatan penumpang sehingga ke saat terakhir.

Sebagai anak-anak kapal yang berpengalaman, Kapten Zaharie serta kesemua krew mewakili dan mencerminkan imej Penerbangan Malaysia yang bertaraf dunia. Penerbangan Malaysia pastinya mempunyai rekod prestasi personal mahupun kerja kesemua mereka untuk dijadikan rujukan. Imej dan kompetensi Penerbangan Malaysia sebagai majikan juga turut musnah akibat kenyataan yang diterbitkan.

Satu laporan yang adil dan berperikemanusiaan haruslah diberikan kepada juruterbang, anak kapal serta semua penumpang, sekurang-kurangnya sehingga kotak hitam ditemui. Spekulasi dan teori konspirasi hanya akan mengheret emosi mereka yang masih hidup dan mewujudkan rasa tidak senang dalam hubungan diplomatik antarabangsa.

Inilah waktunya rakyat negara ini bersatu tanpa mengira latar belakang dan dikurniakan kekuatan serta keberanian menghadapi musibah ini. Saya berharap bahawa ahli keluarga anak-anak kapal serta penumpang MH370 kekal sejahtera dan saya doakan ketabahan buat mereka untuk hari mendatang.

# G Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar


Pengarang :