Selangorkini
SELANGOR

MB : Program kerajaan negeri dilaksana sebelum PRK Kajang

Oleh : AFEEQA AFEERA

KAJANG, 9 MAC: Kerajaan negeri menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan program Mesra Rakyat serta agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) hanya dipergiatkan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang akan berlangsung, pada 23 Mac ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata program yang dianjurkan itu adalah kesinambungan daripada program sebelumnya yang dilaksanakan, sejak tahun 2008.

Katanya, beliau tidak menghalang jika kerajaan pusat turut mempunyai program sama untuk kepentingan dan manfaat rakyat di Selangor.

Abdul Khalid“Kalau diteliti, kita lakukan (program) sebelum penamaan calon kerana ia bukan baru tetapi sambungan program sebelumnya seperti Mesra Rakyat yang telah berlaku, sejak tahun 2011 lagi.

“Kita tak halang kalau kerajaan pusat buat program sebegini tetapi program kerajaan negeri dibuat sebelum penamaan calon dan ia adalah berterusan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Jom Bersih di Taman Jenaris, di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, selepas penamaan calon, kempen untuk program kerajaan negeri akan dihentikan buat seketika bagi memberi tumpuan kepada PRK Kajang.

“Selepas penamaan calon, ada kempen pancing undi,” katanya.

-NFN-


Pengarang :