Selangorkini
NASIONAL

Parlimen : PR cadang tubuh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen siasat MH370

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 MAC : Pakatan Rakyat mencadangkan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menyiasat semua aspek berhubung kehilangan pesawat MH370.

Usul berkenaan dicadangkan Ahli Palimen Seremban, Anthony Loke sebagai pindaan ke dalam usul menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad di bawah peraturan mesyuarat 26 (1) (a) dan perkara 30 (1), baru-baru ini.

Dalam usul itu, beliau juga mahu perkataan seperti “Dewan yang mulia ini menyatakan sokongan penuh kepada semua usaha operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam kes kehilangan pesawat MH370”, dimasukkan.

anthony-&-hatta2Katanya, pindaan terbabit sebagai menunjukkan contoh yang baik kepada negara luar bahawa Parlimen Malaysia prihatin dalam perkara berkenaan.

“Kita tunjukkan Parlimen boleh bersatu melangkaui perbezaan politik. Saya harap semua Ahli Parlimen boleh bersetuju dan menyokong usul ini,” katanya ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa sama, Yang Dipertua Dewan berkata, beliau tidak dapat membuat keputusan segera terhadap usul terbabit dan perlu meneliti syarat serta merujuk peraturan dewan.

Hal itu kerana usul terbabit dikemukakan dalam ucapan dan bukan melalui pembawaan usul khusus.

-NFN-


Pengarang :