SELANGOR

MoU sudah diteliti, lindungi kepentingan rakyat

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 MAC: Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penstrukturan semula industri air di Selangor antara kerajaan pusat dan negeri tidak akan dimeterai jika didapati tidak melindungi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Faekah Husin, berkata walaupun majlis menandatangi MoU itu didakwa dibuat secara mengejut, namun segala terma dan syarat yang terkandung dalam perjanjian berkenaan sudah diteliti dengan cermat.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa konsisten dan tidak pernah berganjak dengan semua syarat dan terma berkenaan sehingga MoU itu ditandatangani, pada 26 Februari lalu.

faekah-husin-22“Kerajaan Selangor yakin MoU ini akan mempercepatkan penyusunan semula industri air selaras dengan hasrat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) untuk memastikan perkhidmatan air bertaraf dunia pada tarif munasabah, mengurangkan air tidak berhasil (NRW) di samping meneruskan program 20 meter padu air percuma.

“Bukan rahsia lagi bahawa kerajaan negeri hanya akan membenarkan pembinaan Langat 2 dengan terma dan syarat tertentu jika ia dijadikan sebahagian daripada pelaksanaan penstrukturan semula industri air,” katanya dalam satu kenyataan.

Faekah berkata, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan telus dalam proses pengambilalihan air khususnya berkenaan tawaran RM9.65 bilion bagi pembelian ekuiti empat syarikat konsesi terbabit.

Katanya, syarikat konsesi itu turut diberi peluang untuk merujuk perkara berkenaan ke peringkat Timbangtara Antarabangsa jika merasakan mereka berhak mendapat harga lebih tinggi daripada tawaran itu.

Selain itu, katanya, klausa dalam MoU berkenaan turut menjamin hak mana-mana pihak yang terbabit untuk mengambil sebarang tindakan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkenaan jika merasakan kepentingan mereka terancam.

“Kebimbangan sesetengah pihak kemungkinan kerajaan Selangor perlu membayar pampasan yang lebih tinggi kepada syarikat konsesi jika dibawa ke Timbangtara Antarabangsa adalah kurang wajar dan tidak tepat.

Miter_air_Syabas“Ini kerana kerajaan negeri sudah memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap semua senario dengan risiko berkenaan tanpa mengabaikan sebarang kemungkinan sebelum menandatangi MoU itu.

“Kerajaan Selangor juga yakin bahawa penilaian harga ekuiti yang memberi pulangan tahunan 12 peratus kepada pemegang saham tidak akan diperlekehkan oleh Timbangtara Antarabangsa.

“Sehingga kini, tidak ada sebarang pihak mempertikaikan penilaian harga yang ditawarkan kerajaan negeri,” katanya.

-NFN-


Pengarang :