Selangorkini
NASIONAL

Pemuda PAS tuntut penjelasan Kastam berhubung kontrak MyEG RM180 juta

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Pemuda PAS Malaysia menggesa Kastam Diraja Malaysia memberi penjelasan terhadap pemberian kontrak kepada MyEG Services Bhd bernilai RM180 juta.

Ketua Penerangannya, Zaharudin Muhammad membuat gesaan itu merujuk laporan akhbar The Star 14 Februari lalu yang bertajuk, ‘MyEG lands Customs job’.

Memetik Harakah Daily, Laporan berkenaan menyatakan MyEG Services Bhd dianugerahkan sebuah kontrak bernilai RM180 juta daripada Kastam untuk melaksanakan projek Customs Online Tax Reporting (Electronic Monitoring System – EMS), bermula 1 April ini.

MyEG Services Bhd mengumumkan bahawa mereka sudah menyiapkan sebuah pilot project – Customs Service Tax monitoring system yang diperoleh konsortium MyEG Integrated Networks Sdn Bhd, pada bulan lalu.

MyEG Services Bhd juga turut mempunyai saham minoriti bernilai 40 peratus dalam konsortium berkenaan.

0b54337ede34d894d95358dc5e9c8856_XL“Saya ingin meminta penjelasan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia rentetan daripada pendedahan yang dibuat akhbar The Edge Malaysia edisi 1003,” kata Zaharudin dalam satu kenyataan.

Katanya, akhbar terbabit turut mempersoalkan mengapa kontrak mewah diberikan kepada konsortium berkenaan kerana kredibiliti dua syarikat yang memiliki 60 peratus saham daripada konsortium itu meragukan.

Zaharudin berkata, dua syarikat terbabit adalah Orca Capital Sdn Bhd (40%) dan Simple Solutions Technologies Sdn Bhd (20%).

Beliau berkata, menurut laporan kewangan berakhir Jun 2013, Orca Capital Sdn Bhd tidak mempunyai hasil tetapi mempunyai RM6.2 juta aset dan RM4.3 juta liabiliti, manakala, Simple Solutions Technologies tidak mendedahkan laporan kewangan mereka sejak 2008 dan hanya mempunyai modal berbayar berjumlah RM4 sahaja.

“Oleh yang demikian, saya memberikan tempoh masa dalam bulan Mac ini untuk mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum isu ini dikemukakan kepada pihak berkuasa,” katanya.

 


Pengarang :