Selangorkini
SELANGOR

PRK Kajang: PR menang semua saluran pengundi muda

ccsb-ads

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 24 MAC: Pakatan Rakyat (PR) berjaya mendominasi semua saluran yang diperuntukkan kepada pengundi muda di saluran lima, enam dan tujuh termasuk di kawasan Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata kejayaan itu diperoleh berikutan faktor isu peningkatan kos sara hidup, perkauman yang dijadikan modal politik Barisan Nasional (BN) dan tindakan mempergunakan institusi kehakiman dalam kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau dilihat saluran pengundi muda, PR menang semua sekali. Jadi, undi orang muda kali ini ‘solid’ kepada PR berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila undi orang muda Melayu tidak berpihak kepada kita,” katanya kepada media selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumumkan pemenang PRK Kajang, semalam.

rafizi 01Rafizi berkata, faktor kemerosotan peratusan keluar mengundi berlaku disebabkan pengundi yang berkerja di luar Kajang tidak mengambil peluang untuk balik mengundi dalam PRK kali ini berikutan merasakan satu undi mereka tidak mempengaruhi keputusan PRU lalu.

“Ini memang sudah dijangkakan kerana Kajang ada 17 peratus pengundi luar. Saya jangkakan faktor pengundi luar Kajang tidak balik kerana mereka fikir Kak Wan (Dr Wan Azizah) tentu akan menang, cuma persoalan majoriti sahaja.

“Kalau kita tengok pada PRU lalu, angka keluar mengundi 88 peratus itu ada 17 peratus pengundi luar. Kalau 80 peratus hingga 90 peratus daripada 17 peratus pengundi luar balik mengundi akan memberi kesan yang lebih besar,” katanya.

Sebelum itu, dalam sidang media berlainan, Dr Wan Azizah memberitahu peratusan keluar mengundi yang rendah lazimnya berlaku setiap kali PRK tidak terkecuali PRK Kajang, kali ini.

Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 selepas memperoleh 16,741, berbanding pencabarnya Datin Paduka Chew Mei Fun daripada Barisan Nasional dengan undi 11,362 undi.

Keputusan itu juga menunjukkan peratusan undi yang diperoleh PKR meningkat daripada 56.8 peratus pada PRU lalu kepada 59.7 peratus dalam PRK Kajang.

-NFN-


Pengarang :