SELANGOR

Rafizi : 7% pengundi Melayu ‘swing’, PR berjaya tembus 2 kubu kuat BN

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 24 MAC: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang semalam dianggap sebagai petunjuk positif terhadap keupayaan Pakatan Rakyat (PR) untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata petunjuk itu dibuktikan apabila keputusan undian semalam menunjukkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya memperoleh pertambahan undi Melayu di antara lima hingga tujuh peratus.

“Keputusan bertambah baik dan kemenangan di beberapa daerah mengundi adalah luar jangkaan kerana kalau lihat keputusan hari ini (semalam) kita menang di semua kawasan Melayu kecuali dua tempat, Sungai Kantan dan Batu 10, Cheras.

Rafizi1-179x300“Namun, berjaya mengurangkan kemenangan BN di dua tempat ini, contohnya di Sungai Kantan kita mengurangkan mereka dua ratus undi.

“Bagi daerah mengundi Melayu terbesar iaitu di Sungai Sekamat, dahulu kita kalah lebih 200 undi tetapi kini menang 40 undi. Maknanya, ada peralihan kira-kira 300 undi daripada BN ke PR.

“Daripada analisa kasar ada lima hingga tujuh peratus peralihan pengundi Melayu daripada BN kepada PR kali ini. Lima hingga tujuh peratus ‘swing’ itu adalah cukup besar. Kalau dalam PRU ada ‘swing’ sebanyak itu maknanya PR akan menang ke Putrajaya dengan meyakinkan,” katanya kepada media selepas SPR mengumumkan kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai pemenang.

Semalam, SPR mengumumkan Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 selepas memperoleh 16,741 berbanding pencabarnya, Datin Paduka Chew Mei Fun daripada BN dengan undi 11,362 undi.

Keputusan itu juga menunjukkan peratusan undi yang diperoleh PR meningkat daripada 56.8 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu kepada 59.7 peratus dalam PRK kali ini.

-NFN-


Pengarang :