Selangorkini
SELANGOR

RM 15,074.85 sebulan, ikhlas daripada MB kepada TAWAS.

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 1 MAC : Walaupun menerima kenaikan gaji hampir seratus peratus, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil keputusan menyumbang kesemua kenaikan itu kepada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Memetik laporan Malaysian Insider, seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar mengesahkan perkara itu dan berkata jumlah yang disumbangkan Khalid ialah sebanyak RM 15,074.85.

Surat MB“Betul, beliau sumbangkan kenaikan gaji menteri besar kepada tabung Tawas,” kata pegawai berkenaan.

Semalam, beberapa pengendali laman Facebook mula berkongsi gambar satu surat rasmi bertarikh 28 Januari 2014 yang ditandatangani Abdul Khalid kepada Pegawai Kewangan Selangor, Datuk Noordin Sulaiman.

“Saya dengan ini menyumbang semua wang kenaikan gaji tersebut sebanyak RM 15,074.85 ke dalam Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) melalui potongan gaji saya bermula bulan Januari 2014 dan seterusnya,” kata surat rasmi berkenaan.

Surat itu turut menyatakan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Januari 2014 hanya meluluskan pemotongan sebanyak RM 4,250 sahaja daripada keseluruhan RM 29,250 gaji Menteri Besar.

.Walaupun begitu, Abdul Khalid dengan suka rela ingin menyerahkan kesemua kenaikan gaji kepada TAWAS dan sekadar menerima gaji asalnya sebelum ini iaitu RM 14,175.15.

Pendedahan ini mendapat pelbagai reaksi positif daripada orang ramai di Facebook, antaranya di laman Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat.

“Tan Sri Abdul Khalid ialah pemimpin terbaik. Bila masa PKR hendak buang Tan Sri Khalid. Tolong jangan fitnah,” kata HairiReallyme.

“Jadi janganlah tukar MB. Kekalkan Tan Sri Abdul Khalid. Pemimpin macam mana kita mahu lagi,” kata seorang lagi, Rashyad Afham Feroz.

Pada sidang DUN November lepas, Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan kenaikan gaji Menteri Besar, anggota Exco, Speaker, Timbalan Speaker dan kesemua Adun yang mula diterima Januari 2014.

EZY


Pengarang :