Selangorkini
SELANGOR

Rumah Selangorku akan dijual pada harga kurang RM250,000

Oleh : AFEEQA AFEERA

KAJANG, 10 MAC : Projek Perumahan Mampu Milik atau Rumah Selangorku yang dibina untuk memberi peluang kepada rakyat berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri akan dijual pada harga kurang RM250,000 seunit.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata projek perumahan di Sungai Sering, Hulu Kelang itu akan menggunakan RM100 juta sebagai modal pusingan daripada rizab kerajaan negeri tanpa perlu membuat pinjaman bank.

IMG_5737aKatanya, sebanyak 2,400 unit rumah bersaiz seribu kaki persegi akan dibina dalam tempoh dua tahun bermula Ogos ini.

“Kita akan jual pada harga kurang RM250,000 dan selepas lima tahun kita tidak galakkan pemilik untuk menjual rumah itu tetapi kerajaan negeri akan beli semula dengan harga RM400,000.

“Kita juga akan tempatkan tenaga mahir untuk menyelenggara pangsapuri itu supaya sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya pada Majlis Pelancaran Kemudahan Komuniti Pangsapuri Makmur di Bandar Baru Saujana, di sini hari ini.

Majlis Pecah Tanah bagi projek perintis ini telah diadakan pada 22 Februari dan kerja pembinaan dijangka dimulakan dalam tempoh enam bulan kemudian selepas kelulusan pembangunan serta perlantikan kontraktor selesai.

Rumah Selangorku ini akan dibangunkan di sebahagian tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI) yang berkeluasan 28 hektar di Sungai Sering, Hulu Klang, memandangkan permintaan untuk rumah mampu milik amat tinggi di kawasan berkenaan.

Projek perintis ini yang terdiri daripada tiga jenis keluasan iaitu 800 kaki persegi, 900 kaki persegi dan 1,000 kaki persegi.

EZY


Pengarang :