Selangorkini
SELANGOR

Selangor panggil ejen hartanah, elak jualan rumah kos rendah tidak adil

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Negeri akan memanggil wakil ejen hartanah melalui Institut Ejen Hartanah Malaysia (Malaysian Institut of Estate Agents) ekoran terdapat iklan untuk menjual rumah kos rendah.

Exco Perumahan, Iskandar Samad, berkata pendekatan itu diambil bagi memastikan jualan rumah kos rendah dilakukan dengan adil dan hanya mereka yang layak berpeluang membelinya.

Katanya, walaupun pembeli terbabit menepati syarat tetapi nama mereka harus datang daripada Kerajaan Negeri iaitu daripada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).

YB Iskandar 1“Rumah kos rendah dikawal daripada segi harga dan pemilikan. Harga jualan rumah kos rendah adalah lebih rendah daripada kos untuk membinanya,” katanya yang dipetik daripada Harakah Daily.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan sesiapa memotong ‘queue’ dan pertemuan dengan ejen hartanah itu adalah untuk menjelaskan syarat dan prosedur berkenaan.

“Ia diharapkan akan dapat mengelakkan kejadian pembeli kecewa atau menyalahkan Kerajaan Negeri jika pindah milik mereka tidak berjaya,” katanya.

Kerajaan Negeri mewajibkan pemaju yang membangunkan lot lebih daripada 10 ekar untuk membina rumah kos rendah dalam usaha membantu rakyat berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

Antara syarat pemilikan adalah pembeli belum lagi memiliki rumah kos rendah dan pendapatan isi rumah pembeli pula harus di bawah RM2,500 sebulan.

Katanya, terdapat pembeli yang sudah membayar deposit pembelian tetapi tidak mendapat kebenaran untuk memindah milik daripada Kerajaan Negeri kerana tidak menepati syarat terbabit.

“Akhirnya, mereka gagal mendapatkan pinjaman bank dan hilang deposit yang dibayar. Ini, jelas berlaku kepada mereka yang membeli rumah daripada pemilik asal.

YB-Iskandar-baju-merah-2“Tetapi walaupun pembeli membeli rumah secara tunai, hak milik rumah itu akan kekal di atas nama pemilik asal,” katanya.

Beliau berkata, terdapat iklan menjual rumah kos rendah yang sedang dalam pembinaan oleh pemilik asal.

“Mereka yang mahu membeli rumah kos rendah mesti berdaftar dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS). Kerajaan Negeri mahu memastikan penjualan rumah kos rendah dilakukan dengan adil dan hanya mereka yang layak berpeluang membelinya,” katanya.

-NFN-


Pengarang :