Selangorkini
SELANGOR

SUKMA 2014: MSN galas misi utama untuk kekal kejuaraan Selangor

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 27 MAC: Kejayaan Skuad Bawah 19 Selangor menjulang Piala Belia 2013 antara bukti pelaburan besar Majlis Sukan Negeri (MSN) bersama Kerajaan Negeri dalam melahirkan atlet berbakat membuahkan hasil.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi, berkata kejayaan terbabit mencerminkan komitmen pihaknya menempatkan Selangor sebagai peneraju sukan tanah air.

“Bakat yang kita lahirkan ini sememanganya berkualiti. Jadi, tidak mustahil apabila lebih lapan atlet daripada skuad itu kini diserap masuk bagi membarisi skuad Harimau Muda C.

“Ada juga antara mereka berjaya diserap bawah Skuad Bawah 21 Piala Presiden,” katanya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERASkuad Bawah 19 Selangor bimbingan Adam Adullah muncul juara Piala Belia 2013 selepas berjaya menundukkan Kelantan 2-1 pada aksi final di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jun lalu.

Kejayaan itu menamatkan penantian panjang Selangor selama tujuh tahun selepas kali terakhir bergelar juara Kejohanan B-19 pada 2006 ketika dibawah kendalian Penolong Jurulatih Skuad Liga Super Selangor musim ini, P Maniam.

Pasukan itu juga diangkat sebagai Pasukan Terbaik, manakala, jurulatihnya dianugerahkan Jurulatih Terbaik pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2013, baru-baru ini.

Bercakap kepada Selangor Kini, Nizam juga membayangkan pasukan terbabit juga akan membuat kejutan dengan membawa pulang pingat pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 yang akan berlangsung di Perlis, Mei ini.

“Ini yang dikatakan perkongsian bijak apabila kita akan serapkan Skuad B-21 Piala Presiden untuk mewakili Selangor ke SUKMA di Perlis.

“Mereka pernah buktikan pada Piala Belia dengan memenangi tujuh perlawanan tanpa kalah dan akhirnya muncul juara untuk kejohanan itu. Jadi, tidak mustahil kejayaan yang sama akan diulangi mereka di SUKMA nanti,” katanya.

SUKMA XVI 02Nizam berkata, SUKMA adalah misi utama pihaknya dalam memastikan Selangor terus mara dan kekal juara.

“Tumpuan utama kita buat masa ini adalah SUKMA kerana ia membabitkan semua program pembangunan sukan peringkat negeri. Kalau menang SUKMA, ini bermaksud program pembangunan sukan negeri berada pada landasan yang betul.

“SUKMA tahun ini akan mempertandingkan 24 jenis sukan dan kita memberi komitmen serta tumpuan sama rata kepada semua sukan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :