Selangorkini
SELANGOR

Sukma 2014 : Pertahan kejuaraan, Selangor sasar 50 pingat emas

Oleh AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 MAC: Selangor menetapkan sasaran 50 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang akan berlangsung di Perlis dari 24 Mei hingga 4 Jun ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata sasaran itu bergantung kepada prestasi semasa dan semangat kesukanan atlet dalam latihan mereka sejak beberapa bulan lepas.

IMG_4634aBeliau berkata, Selangor mempertaruh 500 atlet pada temasya yang menawarkan 396 pingat emas dalam 24 acara sukan di Perlis.

“Misi kita agak berat tahun ini iaitu mempertahankan kejuaraan Sukma 2013.

“Selangor sudah memperoleh lapan kemenangan sejak acara sukan ini diwujudkan, maka persiapan rapi dari segi latihan dan peralatan giat dilakukan,” katanya pada segmen Selangorku, hari ini.

Pada Sukma ke-16 di Kuala Lumpur tahun lalu, Selangor menduduki tangga teratas dengan 23 emas, 16 perak dan 28 gangsa manakala Terengganu (kedua) dengan 19 emas, 13 perak dan 13 gangsa.

Wilayah Persekutuan di tangga ketiga dengan pungutan 15 emas, 19 perak dan 26 gangsa.

Beliau berkata, Selangor hanya mempertaruh ‘atlet mesti menang pingat’ untuk memastikan kejuaraan sejak tahun 1986 itu kekal.

Selain bergantung kepada tradisi pungutan pingat melalui acara akuatik, olahraga dan basikal, katanya, kontinjen turut berharap pingat emas boleh ditambah menerusi angkat berat dan wushu.

“Disebabkan kos acara sukan ini tinggi, Selangor hanya menempatkan atlet yang mesti menang pingat kerana kita ada merit (had kelayakan) yang ditetapkan,” katanya.

– FZL

 


Pengarang :